Perang seragam Piala Dunia tidak kurang hebatnya

Oleh Shaukei Kahar 16 June 2018 2638
Perang seragam Piala Dunia tidak kurang hebatnya
Juara Piala Dunia 2018 hanya akan diketahui kira-kira sebulan lagi tapi adalah jelas dari awal juara jenama seragam pasukan-pasukan yang bertanding kali ini.

Adidas siang-siang lagi sudah menuntut hak selaku pemenang ke atas Nike, dengan pengeluar dari Jerman itu membekalkan seragam buat 12 daripada 32 pasukan kali ini, disusuli Nike dengan 10 pasukan dan Puma empat.

Namun, Nike mendakwa 60 peratus pemain-pemain dalam kejohanan kali ini memilih untuk memakai kasut bola keluarannya.

Tuan rumah, Russia, juara bertahan, Jerman, di samping Belgium, Iran dan Argentina adalah antara negara yang mengenakan seragam Adidas.

Dalam pada itu, jenama sukan Jerman itu, yang juga penaja rasmi temasya Russia 2018, menjangkakan hanya impak kewangan yang kecil gara-gara ekonomi Russia yang masih tidak menentu.



“Piala Dunia di Russia membawa bersamanya peluang kewangan yang lebih rendah daripada kejohanan di Brazil empat tahun lalu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Adidas, Kasper Rorsted, awal bulan ini.

“Pada masa yang sama, kami tetap bersemangat menantikannya. Ia akan menawarkan cara yang hebat untuk menyemarakkan jenama kami di peringkat global.”

Sejak Piala Dunia 2014, Adidas telah meningkatkan jualannya dengan galak dalam bidang lain daripada bola sepak, dengan memanfaatkan permintaan tinggi terhadap kasut bola keranjang retronya dan kasut berlari Boost untuk memintas jualan Nike, khususnya dalam pasaran Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, bola sepak kekal penting untuk imej jenama Jerman itu, yang telah membekalkan bola rasmi Piala Dunia sejak 1970 – untuk kejohanan kali ini, bola Adidas Telstar 18.

Selepas Nike membekalkan seragam untuk lebih banyak pasukan buat kali pertama di Brazil pada 2014, Adidas bertindak balas dengan menaja 12 daripada 32 pasukan kali ini, termasuk pasukan pilihan seperti Jerman, Sepanyol dan tuan rumah, Russia.

Nike, yang hanya terbabit secara besar-besaran dalam bola sepak bermula dengan Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat, membekalkan jersi kepada 10 pasukan, termasuk Brazil, Perancis dan England.

“Piala Dunia adalah detik terhebat dalam sukan dan kami sangat teruja untuk memuncakkan tenaganya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Nike, Mark Parker, pula.



Di samping pasukan-pasukan amat penting untuk jualan jersi, lebih penting untuk jualan kasut bola ialah tajaan buat pemain-pemain ternama, khususnya Cristiano Ronaldo yang menggunakan but Nike manakala Lionel Messi dilengkapi Adidas.

Nike menjangkakan 60 peratus daripada pemain-pemain yang beraksi di Russia akan memakai kasut bolanya, termasuk hampir separuh pasukan Jerman dan Sepanyol dan tiga perempat pasukan Russia di sebalik mereka semua menyarung jersi Adidas.



Satu-satunya pengecualian ialah Iran yang langsung tidak menggunakan sepatu bola Nike sebagai protes terhadap Amerika selepas Presiden Donald Trump menarik diri daripada satu perjanjian nuklear antarabangsa.

Satu lagi jenama Jerman, Puma, menyusul di tangga ketiga dengan menaja seragam hanya empat pasukan kurang menonjol di Russia, dibandingkan dengan lapan pasukan di Brazil 2014 – hakikat yang diburukkan lagi dengan kegagalan pasukan tajaan utamanya, Itali, untuk layak ke pusingan akhir.

Selebihnya mengenakan jersi New Balance (Costa Rica dan Panama), Umbro (Peru), Hummel (Denmark), Errea (Iceland) dan Uhlsport (Tunisia).

Adidas melaporkan hasil jualan berkaitan bola sepak bernilai AS$2.4 bilion (RM9.6 bilion) pada 2014 apabila ia menjual 14 juta bola rasmi dan lapan juta jersi, termasuk tiga juta jersi pasukan juara, Jerman, sahaja.



Ternyata, Piala Dunia membawa bersamanya perniagaan yang sangat lumayan.




 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen