Pengorbanan atlet di bulan Ramadan

Oleh Mirnawan Nawawi 23 May 2018 704
Pengorbanan atlet di bulan Ramadan
Bulan Ramadan sama sekali tidak menjadi penghalang buat atlet-atlet sukan kebangsaan menjalani latihan untuk menghadapi kejohanan-kejohanan besar yang bakal disertai mereka selepas ini.

Para atlet negara tetap berkorban menjalani program latihan yang telah ditetapkan oleh jurulatih masing-masing walaupun terpaksa berlatih dalam keadaan tidak boleh makan dan minum pada siang hari.

Umum mengetahui kebanyakan atlet-atlet negara lebih gemar mengubah jadual latihan mereka kepada latihan di sebelah petang sebelum berehat untuk berbuka puasa dan kemudiannya bersambung semula pada waktu malam.

Kejohanan besar selepas ini ialah temasya Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 September depan.

Jadi ia bukan satu isu atau alasan buat para atlet negara mahu mengelak daripada berlatih di bulan puasa memandangkan tempoh masa sekarang cuma berbaki tiga bulan sahaja lagi sebelum bermulanya Sukan Asia 2018.

Skuad hoki lelaki negara sanggup terbang ke Buenos Aires untuk menghadapi enam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang juara Sukan Olimpik 2016, Argentina bermula Ahad lepas dan akan pulang semula ke tanah air pada 4 Jun ini.

Ia adalah sebahagian daripada program persediaan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dalam memastikan skuad hoki lelaki negara berjaya meraih pingat emas Sukan Asia 2018 sekali gus menempah tiket automatik ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Skuad hoki wanita negara juga terpaksa mengharungi beberapa perlawanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) dalam keadaan berpuasa di Bandar Donghae, Korea Selatan baru-baru ini.

Selain itu, saya melihat sebahagian atlet olahraga negara sudah mula mengubah latihan mereka ke waktu malam agar tidak menjejaskan prestasi mereka dalam bulan Ramadan sebagai persediaan ke Sukan Asia 2018.

Malah, Institut Sukan Negara (ISN) baru-baru ini turut menyarankan atlet agar menjalani latihan pada waktu malam bagi mengelak masalah dehidrasi yang boleh mengundang pelbagai masalah dan kecederaan serius.

Inilah antara pengorbanan yang harus dipikul atlet-atlet kebangsaan bagi memastikan prestasi dan keadaan fizikal mereka sentiasa berada pada tahap memuaskan menjelang kejohanan-kejohanan besar selepas ini.

Saya sendiri pernah melalui cabaran ini ketika zaman sebagai pemain suatu hari dahulu. Selamat maju jaya saya ucapkan dan semoga pengorbanan ini akan dibalas dengan ganjaran yang lumayan kelak.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen