Pengguguran atau pelepasan? Ia tetap tidak relevan

Oleh Fina Nasrom 24 March 2018 20949
Pengguguran atau pelepasan? Ia tetap tidak relevan
Tanggal 23 Mac 2018, 10 tahun pengalaman berkecimpung sebagai wartawan sukan baru aku tahu suara penyokong begitu berpengaruh sehingga maruah negara mampu berada di hujung jari mereka.

Lucu bila dengar perkembangan terbaru skuad senior bola sepak negara yang ‘menggugurkan’ atau melepaskan 14 pemain Johor Darul Takzim (JDT) atas alasan desakan penyokong.

‘Saya bertanggungjawab atas keputusan ini.’

Itu reaksi Ketua Jurulatih Negara Tan Cheng Hoe dalam sesi latihan pada Jumaat sehari selepas aksi persahabatan dengan Mongolia yang menyaksikan Malaysia sekadar seri 2-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Aku cuba positif.

Mungkin ini merupakan anjakan paradigma yang cuba dibawa oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Cheng Hoe sendiri dalam usaha untuk menjadikan skuad negara benar-benar berkualiti menerusi kenyataan sistem penggiliran pemain sedang berlaku dalam kalangan pemain negara yang dikeluarkan di laman sesawang rasmi FAM beberapa jam selepas Cheng Hoe membuat kenyataan ketika sesi latihan belah petang pada Jumaat.

Namun ada tapinya ....

9 daripada 11 barisan utama yang diturunkan ketika menentang Mongolia merupakan pemain JDT.

Apa relevan untuk nama-nama seperti Safawi Rasid, Ahmad Hazwan Bakri, Fazly Mazlan mahupun Fadhli Shas yang pamer aksi terpuji turut terkena tempias sehingga membawa kepada pengguguran atau pelepasan kesemua pemain JDT?

Kalau betul-betul prestasi mereka gagal menyerlah, ok kita boleh faham tapi untuk aksi kali pertama digandingkan sebagai satu pasukan seperti yang berlaku Khamis lalu masih boleh diberikan pujian walaupun ia bukan 90 minit yang sempurna untuk skuad negara.

Jika benar sistem penggiliran sedang digunapakai, mengapa nama La'Vere Corbin Ong dan Adib Zainuddin (langsung tidak tersenarai dalam 23 pemain) dan Darren Lok (yang hanya memanaskan bangku simpanan) turut terlibat dengan penggiliran sedangkan sentuhan mereka belum lagi diuji sepenuhnya Cheng Hoe ?

Dan lebih aneh mengapa sistem penggiliran ini hanya melibatkan pemain JDT sahaja ? 
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen