Pendekatan Fajer Ibrahim yang tidak menjadi

Oleh Fadzrie Hazis 27 May 2018 5008
Pendekatan Fajer Ibrahim yang tidak menjadi
Waktu kini kian suntuk buat Kelantan dan pengendali mereka dari Syria, Fajr Ibrahim dalam usaha memastikan mereka kekal di Liga Super musim depan.

Tindakan Fajr yang menggunakan sebahagian besar tonggak muda, turut tidak memberikan kesan positif buat pasukan selepas 12 perlawanan yang menyaksikan Kelantan terperosok di tangga kedua tercorot dengan hanya lapan mata.

Penulis tidak faham sebenarnya dengan pendekatan Fajr yang turut menyisihkan beberapa tonggak senior dalam skuad Kelantan.

Tonggak senior seperti Do Dong-Hyun dan Amiridzwan Taj Tajuddin sebenarnya masih bersama pasukan begitu juga Badri Radzi.

Namun, Fajr lebih gemar mengarahkan mereka berlatih secara bersendirian dan langsung tidak menggunakan kudrat mereka.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA)  juga sudah melepaskan beberapa tonggak senior seperti Khairul Fahmi Che Mat, Norfarhan Mohamad dan yang terbaru Nik Shahrul Azim Abdul Halim yang sudah bersama PKNS.

Apakah Fajr begitu yakin dengan hanya tonggak muda, dia mampu memastikan Kelantan kekal di Liga Super musim depan?

Penulis hairan mengapa Fajr tidak cuba membentuk gandingan pemain muda dan pengalaman yang seimbang buat pasukan jika serius mahu kekal di Liga Super?

Penulis juga tidak pasti kini sama ada Fajr yakin dengan pendekatannya menggunakan tonggak muda kerana, dia juga sudah beberapa perlawanan tidak menghadiri sidang media pasca perlawanan.

Peminat setia The Red Warriors kini juga seakan tidak sabar dengan Fajr apabila lantang melontarkan kritikan di laman sosial.

Peminat Kelantan juga seakan bingung dengan tindakan Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilyas Khan yang merelakan saja segala kemahuan Fajr dalam mengendalikan Kelantan.

Penulis tidak salahkan peminat untuk kecewa dengan Fajr serta KAFA dengan prestasi hambar pasukan.

Selaku pasukan yang mempunyai tradisi dalam kancah bola sepak tempatan, sudah pasti peminat kecewa dengan perkembangan terkini pasukan.

Penulis percaya, peminat setia Kelantan juga jika boleh enggan menyaksikan pasukan kesayangan mereka jatuh ke Liga Perdana musim depan.

Tidak dinafikan Fajr berjaya menonjolkan beberapa pemain muda menyinar musim ini seperti Nik Akif Syahiran dan Azwan Arifin.

Meskipun berpotensi, pemain-pemain muda ini masih kurang pengalaman untuk mengharungi cabaran di Liga Super tanpa bimbingan pemain senior.

Kerana itu sukar menyalahkan pemain muda yang diturunkan apabila Kelantan terus merakam kekalahan demi kekalahan.

Jika mahu menjimatkan kos sekali pun, mungkin bukan begini caranya kerana kekalahan demi kekalahan pasti akan terus melunturkan moral pemain serta menjejaskan imej Kelantan.

Bibi dan Fajr sebelum ini meminta peminat mereka bersabar kerana pendekatan menggunakan pemain muda memerlukan masa.

Namun, dengan kadar mereka bermain kini ia seakan menjamin kejatuhan ke Liga Perdana semakin hampir pasti.

Kepada Bibi dan Fajr, penulis berharap mereka tahu apa yang mereka lakukan kini dan bersedia untuk berdepan protes penykong jika Kelantan sah tersingkir daripada Liga Super musim ini.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen