Penamat gemilang legenda Kookaburras

Oleh Mirnawan Nawawi 30 April 2018 781
Penamat gemilang legenda Kookaburras
Pingat emas Sukan Komanwel di tanah air sendiri merupakan penutup cerita terindah buat legenda hoki Australia, Mark Knowles.

Siapa tidak mengenali Knowles? Boleh dikatakan semua peminat hoki dunia cukup sinonim dengan nama Knowles yang dianggap antara pemain pertahanan paling sukar ditembusi oleh mana-mana penyerang.

Knowles sebelum ini pernah memilih untuk bersara daripada mewakili Kookaburras di pentas antarabangsa sebelum membuat psuingan-U dan bersara secara rasmi selepas tamatnya Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast.

Sudah tentu pemain yang sudah berusia 34 tahun itu mahu mencapai satu pencapaian manis di bumi sendiri sebelum menutup kariernya yang penuh gemilang.

Sukan Komanwel 2018 sudah tentu satu pengalaman paling manis dalam karier Knowles kerana dipilih sebagai pembawa bendera Australia pada upacara perasmian di Stadium Carrara selain memastikan pingat emas kekal menjadi milik Kookaburras.

Boleh dikatakan seluruh Australia bersetuju dengan keputusan memilih Knowles, pemain yang terkenal dengan sikap merendah diri, sebagai pembawa bendera negara itu berbanding ratu pecut, Sally Pearson.

Knowles memulakan karier antarabangsanya penuh bergaya dengan meraih pingat emas Sukan Olimpik 2004 di Athens, Greece dan dua gangsa sewaktu edisi 2008 di Beijing, China dan 2012 di London.

Beliau juga merupakan pemenang Piala Dunia sebanyak dua kali bermula 2010 di New Delhi, India dan 2014 di The Hague, Belanda.

Pemain yang berasal dari Rockhampton, Queensland, Australia itu pernah diangkat sebagai Pemain Muda Terbaik Dunia Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) 2007 dan Pemain Terbaik Dunia FIH 2014.

Pingat emas di Gold Coast baru-baru ini melengkapkan koleksi empat kejuaraannya memenangi Sukan Komanwel sejak kali pertama memenanginya pada 2006 di Melbourne, 2010 di New Delhi, India dan 2014 di Glasgow, Scotland.

Persaraan Knowles pastinya amat dirindui oleh peminat-peminat hoki dunia khususnya Australia dalam misi menjadi negara pertama menjuarai gelaran Piala Dunia sebanyak tiga kali berturut-turut pada edisi kali ini di Bhubaneswar, India pada November nanti.

Untuk rekod, Knowles adalah salah seorang daripada enam pemain hoki Australia yang sudah membuat lebih daripada 300 penampilan antarabangsa sejak kali pertama menyarung jersi kuning hijau itu pada 2004.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen