Pemain kurang yakin kemampuan sebenar

Oleh Mirnawan Nawawi 10 December 2018 160
Pemain kurang yakin kemampuan sebenar
Kegagalan skuad hoki negara melangkah lebih jauh di pentas Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India, memperlihatkan beberapa perkara positif dan negatif.

Walaupun terpaksa pulang awal kerana gagal mara ke pusingan play-off, setidak-tidaknya persembahan dipamerkan sepanjang kempen Piala Dunia membuktikan Malaysian Tigers sebenarnya tidak ketandusan pemain-pemain berbakat untuk masa depan sukan hoki tanah air.

Antara pengajaran paling utama diperlihatkan daripada tiga perlawanan peringkat Kumpulan D itu, ialah para pemain yang berbakat kurang keyakinan terhadap keupayaan sebenar mereka.

Mereka terlalu menghormati Belanda selaku naib juara Piala Dunia 2014 yang juga pasukan nombor empat dunia hingga dilihat menjadi punca utama kekalahan besar 0-7 kepada lawan tersebut sewaktu aksi pertama Kumpulan D sebelum ini.

Namun, apa yang telah ditunjukkan oleh skuad negara malam ini menentang pasukan nombor enam dunia, Jerman, amat berbeza jika dibandingkan dengan perlawanan bertemu Belanda.

Prestasi ditunjukkan barisan pemain skuad kendalian Roelant Oltmans itu mampu memberikan tentangan sengit kepada Jerman dan nyaris-nyaris untuk mendapatkan seri dengan skuad pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2016 itu.

Malangnya, Malaysian Tigers terpaksa akur tetap kecundang 3-5 kepada Jerman, itu pun disebabkan skuad negara kehilangan dua pemain yang menerima layangan kad pada enam minit terakhir permainan di Stadium Kalinga.

Saya melihat Roelant mempunyai tugas mencabar selepas ini kerana selain perlu memantapkan pemain dan pasukan, beliau juga perlu mencari ramuan terbaik agar dapat mengeluarkan keyakinan para pemain terhadap kemampuan sebenar mereka.

Aspek ini amat penting apabila Malaysian Tigers turun berdepan pasukan-pasukan dalam kelompok ranking 10 terbaik dunia seperti Belanda dan Jerman.

Selain itu, Roelant juga harus mencari jalan memperbaiki dan memantapkan benteng pertahanan yang dilihat bahagian paling ketara perlu diberikan fokus dalam fasa persediaan menghadapi peringkat kelayakan Sukan Olimpik 2020 bermula tahun depan.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen