Pemain Bola kita tidak laku?

Oleh 26 December 2017 268
Pemain Bola kita tidak laku?
Apabila tahun lalu ketahui perkhabaran Liga Thailand akan buka kuota kepada pemain ASEAN pada 2018, ramai pemerhati dan peminat mengharapkan ada pemain kita mampu memikat beberapa pasukan di sana.

Kalau tidak dapat beraksi bersama kelab Divisyen Satu, sekurang-kurangnya dengan Divisyen Dua sudah cukup bermakna kerana nilai sebagai seorang pemain import kepada sesuatu pasukan, sudah cukup besar ertinya.

Harapan itu terus berbunga sebaik berakhir Sukan SEA lalu, bila ada sumber di luar sana dedahkan ada pemain negara seperti Syamer Kutty Abba dan N. Thanabalan mendapat perhatian kelab-kelab Thailand.

Bagaimanapun, segala perkembangan itu berakhir tanpa sebarang berita susulan sebelum penyerang baru Terengganu, Abdul Malik Mat Ariff dedahkan dia sebenarnya ada terima tawaran dari beberapa kelab Thailand namun menolaknya atas alasan komitmen bersama Terengganu selain berasa belum sesuai beraksi di sana kerana saingan lebih kompetitif.

Sebagai seorang sentiasa harapkan kemajuan graf bola sepak negara, penulis kecewa jika itu jawapan diberikan Malik kerana tuah tidak selalu datang bergolek kerana pada masa akan datang, belum tentu rezeki sama akan hadir.

Bukan sekadar Malik, memang ada beberapa pemain lain sebenarnya dapat lamaran namun mereka menolaknya kerana memilih mahu beraksi di sini.

Kalau tiga pemain kebangsaan Singapura mampu tempatkan diri di Thailand iaitu Zulfahmi Ariffin di Chonburi, Izwan Mahbud (Nongbua Phitcaya) dan Hassan Sunny(Army United), penulis berasa agak musykil mengapa tiada seorang pemain negara ke sana.

Adakah sebenarnya kualiti pemain kita agak lemah atau gaji yang diminta oleh pemain negara terlalu tinggi sekali gus buatkan semua pasukan di sana tidak lagi berminat?

Penulis tidaklah anggap Liga Thailand terlalu hebat daripada semua segi tetapi sekurang-kurangnya buat masa ini di Asia Tenggara, mereka yang terbaik berbanding liga negara.

Berdasarkan kualiti pemain import selain kemampuan kelab Thailand beraksi di Liga Juara-juara Asia, sememangnya banyak pengalaman mampu diraih jika ada pemain kita ke sana.

Sekiranya budaya `selesa' ini berterusan dalam kalangan pemain negara, rasanya sampai bila-bila pemain kita lebih selesa di sini tanpa cuba dapatkan sesuatu berlainan bagi karier mereka.

Paling menakutkan, mutu skuad kebangsaan kita akan kekal di takuk lama di peringkat antarabangsa ekoran tiada pemain kita terdedah dengan corak bola sepak di peringkat global.

Jangan pelik jika satu hari nanti Kemboja pun kita sukar hendak dikalahkan kerana tiga pemain negara mereka pun akan mewakili pasukan di Liga Malaysia pada 2018.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen