Peluang buat FAS laksanakan perubahan

Oleh Fadzrie Hazis 30 May 2018 1228
Peluang buat FAS laksanakan perubahan
Kesediaan Datuk Seri Subahan Kamal mengundur diri selaku Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sebenarnya bukan satu kejutan kerana penulis sendiri terdengar desas-desus mengenainya sebelum ini.

Keputusan Pilihan Raya Umum (PRU ke-14) lalu sedikit sebanyak turut mempengaruhi tindakan Subahan mengundur diri bersama timbalannya, Datuk Seri Shahril Mokhtar, daripada FAS dalam mesyuarat jawatankuasa eksekutif persatuan itu pada 31 Mei ini.

FAS dijangka mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa bagi memilih presiden dan juga timbalan baru persatuan itu yang akan dicalonkan oleh kelab-kelab gabungan FAS.

Pada pengamatan penulis, mungkin kini adalah waktu sesuai buat persatuan itu melakukan pembaharuan yang sering diharapkan penyokong setia Selangor selama ini.

Ketika ini, nama yang kerap dikaitan sebagai Presiden baru FAS ialah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, dan penulis turut berasakan baginda berupaya memberi nafas baru buat FAS.

Sebelum ini, Tengku Amir terbabit dengan penganjuran Selangor Champions League (SCL 2017)  selaku Penanung Diraja Selangor Youth Community.

Pembabitan baginda dalam penganjuran liga amatur itu tampak menjadi persediaan awal sebelum mengendalikan FAS.

Namun, untuk mentadbir FAS, sudah pasti baginda memerlukan sokongan semua pihak termasuk kerajaan negeri Selangor dalam membentuk pucuk pimpinan baru yang mampu memberikan kesan positif kepada bola sepak Selangor.

Penulis percaya, Tengku Amir akan mendapat sokongan kerajaan negeri dan penulis berharap baginda dapat membuat penilaian tepat dalam membentuk pengurusan FAS yang lebih berkesan dan juga peka dengan perkembangan bola sepak moden kini.

Sudah pasti peminat setia Selangor akan turut mahu melihat skuad utama yang lebih ampuh untuk saingan Liga Super musim depan apabila Tengku Amir mentadbir FAS.

Tengku Amir juga perlu memastikan skuad Selangor yang ketika ini semakin tidak konsisten, masih berupaya untuk kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

Penulis berharap, ahli gabungan FAS semua sepakat dalam mencalonkan Tengku Amir sebagai calon presiden daan berharap, mereka memilih calon sesuai selaku timbalan baginda.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen