Pasang-surut hubungan Pogba dengan Mourinho

Oleh Shaukei Kahar 24 September 2018 562
Pasang-surut hubungan Pogba dengan Mourinho
Sekembalinya Manchester United daripada kemenangan 3-0 ke atas Young Boys dalam Liga Juara-Juara di Berne, Khamis lalu, terbit ura-ura mengenai jernihnya kembali hubungan Paul Pogba-Jose Mourinho.

Pemain antarabangsa Perancis itu menyumbat dua gol di Switzerland di samping membuka laluan buat satu lagi gol Anthony Martial untuk The Red Devils pulang berbekalkan tiga mata penting…

…dan keterujaan pengurus United itu terhadap peri pentingnya dia dalam pasukan.

Kebetulan, pemenang Piala Dunia bersama Perancis itu diberi kepercayaan mengetuai pasukan dalam ketiadaan Antonio Valencia dan menggunakan kesempatan itu untuk menyerlahkan ciri-ciri kepemimpinannya.

Satu daripada jaringan Pogba terhasil daripada sepakan penalti, dengan pemain berusia 25 tahun itu mampu mengikis memori kegagalan menyempurnakannya ketika berdepan Burnley dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelumnya.

Sejurus wisel penamat perlawanan menentang Young Boys itu, Pogba merakamkan penghargaan kepada Mourinho kerana terus menaruh kepercayaan ke atasnya untuk mengambil sepakan penalti.

”Saya tidak punya sebarang keraguan untuk mengambil sepakan penalti,” katanya. 
“Saya sedar saya terlepas satu ketika menentang Burnley.

“Joe Hart mengatasi saya ketika itu tapi saya tidak akan mengulangi kesilapan sama.
“Saya mendapat kepercayaan rakan sepasukan, mereka yang membenarkan saya mengambil sepakan berkenaan. Juga terima kasih kepada pengurus yang masih meletakkan kepercayaan kepada saya,” katanya seperti dipetik akhbar Daily Mirror.

Hubungan Pogba dengan Mourinho agak tegang sepanjang setahun lalu sehingga pemain tengah itu dikaitkan bakal meninggalkan Old Trafford.

Terdapat juga laporan pada satu ketika kononnya Pogba memberitahu Mourinho untuk hanya bercakap kepadanya melalui ejennya – bukan secara terus dengannya.

Dalam pada itu, keadaan terbaru mencadangkan kedua-duanya telah mengambil pendirian untuk mengakhiri perselisihan di antara mereka.

Kembalinya United ke landasan kemenangan selepas kekalahan berturut-turut kepada Brighton dan Spurs, seakan-akan mengubati keretakan antara mereka.

Cuma, persoalannya berapa lama? 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen