Pantas Dortmund buat kerja

Oleh Nafis Abdullah 24 May 2019 10505
Pantas Dortmund buat kerja
"Saya tahu kami akan meraih kejuaraan liga selepas kemenangan besar ke atas Borussia Dortmund."

Itu reaksi pengendali Bayern Munich, Niko Kovac, selepas pasukan kendaliannya itu mengesahkan kejuaraan liga ke-28 hujung minggu lalu menerusi kemenangan 5-1 ke atas bekas pasukan bimbingan pengurus dari Croatia itu, Eintracht Frankfurt.

Saingan kejuaraan liga di Jerman musim ini menyaksikan pertarungan sehingga ke perlawanan terakhir tatkala Dortmund dan Bayern hanya dibezakan dua mata di penamat saingan.



Pernah suatu ketika, Dortmund mendahului carta liga dengan kelebihan sembilan mata mengatasi Bayern -- yang menjadi perbezaan terbesar di antara kedua pasukan -- setelah anak buah Lucien Favre itu menewaskan The Bavarians di Signal Iduna Park.

Namun, kebangkitan Bayern dalam babak kedua saingan Bundesliga menyaksikan Kovac berupaya mengatasi tekanan yang dihadapi sejak tiba di Allianz Arena, termasuk membelasah Dortmund 5-0 dalam perlawanan ke-28.

Ternyata kelemahan mentaliti kejuaraan menjadi pemisah buat Dortmund yang rata-rata dibarisi pemain muda seperti Christian Pulisic, Mahmoud Dahoud, Maxmilian Philipp serta pemenang bantuan gol terbanyak, Jadon Sancho.



Bagaimanapun, Favre bersama pengarah sukan kelab, Michael Zorc, dan CEO, Hans-Joachim Watzke, tidak mengibarkan bendera putih dalam usaha untuk mengekang dominasi Bayern di Jerman dan walaupun kempen 2018-19 baru tamat, tiga watak utama di Signal Iduna Park itu telah melakukan persiapan bagi menghadapi musim depan.

Setelah kehilangan Pulisic yang akhirnya ke Chelsea kira-kira lima bulan selepas menyatakan persetujuan ke Stamford Bridge dengan nilai perpindahan GBP58 juta (RM308 juta), Dortmund tidak menoleh ke belakang lagi.

Paling mudah, mereka mengikut corak jendela perpindahan yang diamalkan Bayern -- yang melemahkan kekuatan seteru domestik -- sewaktu membawa masuk nama seperti Mats Hummels, Mario Gotze dan Robert Lewandowski daripada Dortmund, Joshua Kimmich (RB Leipzig), Niklas Sule dan Sebastian Rudy (Hoffenheim) serta Manuel Neuer (Schalke) -- apabila mendapatkan bintang-bintang daripada Bundesliga.



Dalam tempoh dua hari, skuad BVB itu telah menandatangani tiga pemain yang menjadi watak utama buat pasukan masing-masing di pentas liga Jerman bagi kempen 2018-19.

Pertahanan sayap Jerman, Nico Schulz, didapatkan daripada Hoffenheim, Thorgan Hazard meninggalkan Borussia Monchengladbach untuk ke Signal Iduna Park dan paling menggembirakan pengurusan Dortmund semestinya kehadiran pemain yang menjadi rebutan beberapa kelab Eropah, Julian Brandt, daripada Bayer Leverkusen.



Tiga perpindahan itu hanya melibatkan transaksi bernilai GBP67 juta (RM355 juta), sekali gus membuktikan Dortmund bukan sahaja tidak membuang masa untuk memperbaiki kualiti pasukan tetapi bijak berbelanja dalam usaha kembali bergelar gergasi sebenar Jerman.

Memang pantas Dortmund buat kerja!

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen