Pak Arab minat labur wang dalam skuad Newcastle

Oleh Ammar Hakim 31 May 2019 1914
Pak Arab minat labur wang dalam skuad Newcastle
Newcastle United mengesahkan rundingan pengambilalihan di antara pemilik kelab dan jutawan dari Timur Tengah yang berminat untuk memiliki kelab tersebut. Perkara ini mampu mengubah segala-galanya buat kelab itu.

Adakah kita akan sekali lagi diberikan peluang untuk menyaksikan kemenangan menakjubkan seperti yang dilakukan Leicester pada musim 2015-16?

Siapa dalam proses membeli Newcastle United?

Jutawan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Khaled bin Zayed Al-Nahyan, sepupu kepada pemilik Manchester City, menawarkan £350 juta untuk membeli The Magpies. 

Pembidaan  itu dicadangkan pada masa yang sesuai kerana pemilik semasa, Mike Ashley, tidak sabar untuk menjual kelab tersebut.
 
Sumber kewangan yang sederhana menyaksikan perkembangan yang perlahan daripada pasukan tersebut.
 
Dengan kehadiran Sheikh Khaled, suntikan perbelanjaan dapat meningkatkan peluang untuk Newcastle menyertai enam teratas liga bagi  mencabar gelaran Liga Perdana Inggeris selepas kali terakhir menamatkan saingan di tempat kedua pada tahun 1996 dan 1997.

Sebagai salah seorang ahli keluarga diraja Abu Dhabi, Sheikh Khaled telah menunjukkan minat untuk memiliki kelab Inggeris dan beliau telah menawarkan £2 bilion untuk memiliki Liverpool pada pertengahan 2018. Bagaimanapun, tawaran itu tidak terlaksana kerana pemilik kelab tersebut enggan menjual The Reds.

Pemain-pemain Liverpool membalas kepercayaan pemilik mereka dengan mengakhiri saingan di tempat kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dan melangkah ke final Liga Juara-Juara (UCL) yang dijadualkan berlangsung awal pagi Ahad (waktu Malaysia) di Stadium Wanda Metropolitano di Madrid, Sepanyol.

Newcastle United dijangka mengikut jejak langkah juara EPL -- Manchester City -- berbanding Liverpool.
 Dibeli oleh Sheikh Mansour pada 2008, perkembangan Manchester City meningkat secara konsisten dan kini dalam kalangan pasukan terbaik di England. 

Kunci kejayaan mereka adalah bajet yang dimiliki pasukan tidak pernah putus dalam mendapatkan barisan terbaik.

Secara kebetulan, Sheikh Mansour telah cuba membeli Newcastle United pada 2008 sebelum memiliki Manchester City. Pada ketika itu, Ashley enggan menjual kelab tersebut dan 11 tahun kemudian, beliau ber eluang untuk melepaskan kelab tersebut kepada sepupu Sheikh Mansour.

Sheikh Khaled merupakan Presiden Persekutuan Pelayaran dan Mendayung di UAE. Beliau juga merupakan penaung Kumpulan Bin Zayed, yang merupakan sebuah syarikat perniagaan terkemuka di Timur Tengah.

Keseronokan di Tyneside mula dapat dirasai apabila penyokong Newcastle sudah tidak sabar menantikan jendela perpindahan musim panas ini. 

Pengendali pasukan, Rafael Benitez, berkemungkinan menjadi individu yang sudah bersedia untuk memancing beberapa pemain terbaik selepas permintaannya tidak dilunaskan oleh kelab sebelum ini.

Adakah ia cukup untuk mencabar takhta liga? Ia kekal menjadi persoalan tetapi Newcastle sudah pasti bakal menghadirkan cabaran sengit dan menjadikan saingan bola sepak Inggeris makin kompetitif.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen