Pahang kembali garang 

Oleh Hasnizam Uzir 26 May 2018 2681
 Pahang kembali garang 
Kebangkitan Pahang di laman sendiri malam tadi setelah mengalami kekalahan dua perlawanan berturut-turut memberi kelegaan kepada Dollah Salleh apabila anak-anak buahnya menunjukan aksi yang cemerlang ketika berhadapan dengan Kuala Lumpur.

Kemenangan 4-0 ke atas Kuala Lumpur sudah pasti akan mengembalikan keyakinan pemain-pemain Pahang memberi saingan kepada juara bertahan Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT) yang ketika ini begitu selesa menerajui liga.

Kemenangan ini juga melihat bagaimana sentuhan penyudah Pahang kembali tajam setelah kehilangan Francis Forkey Doe. Kehadiran Issey Nakajima dan Austin Mutu memberi impak yang positif dengan kedua-dua pemain itu menjaringkan satu gol untuk membantu kemenangan besar atas Kuala Lumpur walaupun ini baru perlawanan kedua Nakajima dan Austin setelah jendela perpindahan dibuka.

Kehadiran mereka ini memberi kelebihan kepada pemain-pemain tengah Pahang seperti Nor Azam Azih dan Safuwan Baharudin untuk mempelbagaikan corak permainan memandangkan kedua-dua pemain hadapan itu mempunyai kemahiran individu yang tinggi. Kelincahan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria juga memberi kelebihan kepada Pahang walaupun Pahang tidak dapat menurunkan Muhamadau Sumareh yang mengalami kecederaan.

Sudah tentu dengan jaringan yang berjaya dilakukan oleh Nakajima dan Austin akan merisaukan pertahanan lawan selepas ini apabila berhadapan dengan dua penyerang baharu Pahang itu. Itulah yang dihadapi oleh pemain-pemain Kuala Lumpur apabila sukar untuk menghalang setiap gerakan Pahang. 

Kelegaan itu juga dirasai oleh penyokong-penyokong Pahang setelah pasukan kesayangan mereka itu sudah ada pengempur yang boleh diharapkan untuk terus memastikan Pahang berada pada kedudukan terbaik dalam saingan Liga Super dan memburu tempat ke pentas akhir Piala FA apabila bertemu PKNP FC di peringkat separuh akhir nanti. 

Ini akan memberi kelebihan kepada Pahang atas keserasian dan persefahaman yang ditonjolkan Nakajima dan Austin untuk mengembalikan kegemilangan Pahang.

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen