Olimpik Oh Olimpik

Oleh Edleen Ismail 24 June 2016 166
Olimpik Oh Olimpik

Beraksi di temasya Sukan Olimpik adalah impian setiap atlit, bukan sahaja atlit tapi ia juga menjadi idaman setiap wartawan sukan, kerana Olimpik adalah kemuncak segala-galanya. 

Demam Euro mungkin menyelubungi negara kita pada masa ini tetapi tidak lama lagi, jutaan rakyat Malaysia akan tertumpu kepada Sukan Olimpik Rio yang akan membuka tirai pada 5 Ogos 2016.

Namun pelbagai isu melanda Rio De Janeiro ketika ini, daripada kadar jenayah dan juga virus Zika yang turut menyaksikan beberapa orang atlit mula menarik diri. 

Lazimnya sebelum bermulanya sesuatu temasya sukan, pergolakan akan melanda negara tersebut, seperti juga di Afrika Selatan ketika menjadi tuan rumah Piala Dunia 2010. Namun apabila kejohanan bermula, keadaan huru-hara sebelum itu mula reda dan isu keselamatan tidak lagi menjadi tumpuan.

Bagi Rio selaku tuan rumah Sukan Olimpik, bukan sahaja kadar jenayah semakin meningkat dan menggerunkan, di mana beberapa orang atlit di rompak, malah ia seakan-akan penduduk Rio juga tidak mengalukan kehadiran Sukan Olimpik. 

Kerajaan Brazil masih tidak mampu membiayai temasya sukan terbesar ini yang menyaksikan mereka masih gagal mengumpul dana sebanyak 10 juta dolar Amerika. Protes juga semakin berleluasa dengan rakyat Brazil tidak setuju dengan jutaan dolar di salurkan ke Sukan Olimpik dan bukan kepada hospital dan sekolah.

Terbaru, seekor harimau bintang yang digunakan sebagai simbol flora dan fauna negara Brazil ketika upacara penyalaan obor di Manaus di tembak mati kerana terlepas daripada genggaman penjaganya. Mungkinkah kematian harimau bintang ini pada upacara yang cukup sinonim dengan Olimpik adalah satu petanda bahawa, Rio memang masih belum bersedia dan temasya Olimpik kali ini tidak akan berjalan lancar seperti yang diharapkan.

Brazil perlu selesaikan masalah dan isu yang semakin menggunung ini secepat mungkin, kerana hanya 42 hari sahaja lagi sebelum Sukan Olimpik bermula dan kejadian yang tidak diingini perlu segera diatasi.

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen