Nilai sebuah legasi Komanwel

Oleh Shahrazad Sani 9 April 2018 393
Nilai sebuah legasi Komanwel
MENGIMBAS kenangan dua dekad lalu, saya ketika itu tidak mengerti nilai sebenar sebuah sukan temasya apabila Kuala Lumpur diberi penghormatan selaku tuan rumah kepada Sukan Komanwel 1998 (SUKOM’98).

Namun pada usia sebegitu, biarpun minat terhadap sukan masih di peringkat baharu mula mahu bercambah, ada satu elemen sukan temasya ini yang lekat dalam ingatan dan hati saya - pin maskot SUKOM 98, si orangutan bernama ‘Wira’.

Saya dihadiahkan tiga pin oleh Allahyarhamah nenda saya, Zabedah Ahmat, yang menghiaskan ‘Wira’ sebagai atlit menembak, angkat berat dan badminton – dan satu daripada sukan itu memang kini menjadi keghairahan mendalam saya.

Siapa sangka pemberian itu menjadi azimat keramat untuk mendukung saya menjadi seorang wartawan sukan sehingga berupaya menikmati dan membawakan liputan Sukan Komanwel pertama saya di Glasgow pada 2014.

Empat tahun kemudian, saya kekal teruja apabila diberi kesempatan untuk menjadi sebahagian daripada kontinjen Astro Arena ke Gold Coast 2018 sebagai meneruskan kesinambungan legasi kecil peribadi yang bermula 20 tahun lalu.

Malah Gold Coast sudah memberikan saya kenangan yang begitu bernilai apabila melihat anak kepada seorang ikon SUKOM’98 beraksi dalam sukan dan acara yang sama seperti bapanya.

Individu saya maksudkan adalah atlit angkat berat negara, Erry Hidayat,  anak kepada Hidayat Hamidon yang mencuri hati seluruh rakyat Malaysia dengan angkatan emas di Kuala Lumpur, 20 tahun lalu.

Meskipun Erry tidak memenangi pingat di sini – dalam kemunculan sulungnya di pentas bertemasya sebegini -, saya anggap luar biasa untuk dia meneruskan legasi bapanya yang memenangi pingat emas acara 69kg ‘clean & jerk’ SUKOM’98 sewaktu dia belum lahir.

Sepertimana pin SUKOM’98 mendukung semangat saya, begitu juga saya fikir legasi bapanya menjadi sandaran buat Erry,

Mana tahu di Birmingham 2022 nanti, dia berupaya memenangi pingat emas Sukan Komanwel sama seperti bapanya, Hidayat. Dan siapa tahu, saya mungkin juga mampu bertuah menjadi saksinya. dan saya menjadi saksi. 

*Jangan lupa ikuti liputan eksklusif kontinjen negara di Sukan Komanwel 2018 menerusi saluran Astro Arena 801/802HD dan saluran khas berita Nadi Arena 800/803HD

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen