Nidzam: Bola sepak moden adalah bahasa mudah (BAH 2)

Oleh Shaiful Shamsudin 11 October 2019
Nidzam: Bola sepak moden adalah bahasa mudah (BAH 2)
Menurut laporan The Telegraph, kecewa Frank Lampard terhadap Marcelo Bielsa nampaknya masih belum reda apabila mempertikaikan Anugerah Fair Play yang diterima pengurus Leeds United kelahiran Argentina itu.

Ia susulan musim lalu, Bielsa terpalit dengan kontroversi 'Spygate' -- mengintip dan merakamkan sesi latihan seteru yang bakal mereka hadapi.

Itu antara langkah proaktif yang diterapkannya sebagai persiapan khusus bagi sesuatu perlawanan.

Maka tidak hairanlah pada usia 64 tahun, Bielsa merupakan pelopor amalan bola sepak moden dan antara pengurus berjaya yang menjadikannya sebagai panduan adalah Pep Guardiola serta Mauricio Pochettino.

Bagi jurulatih tempatan, Nidzam Jamil, asas kepada pendekatan bola sepak itu sudah semakin diterjemahkan dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M).



Walaupun memiliki skuad muda dan sering mengetengahkan pemain seperti Ahmad Tasnim Fitri Nasir (20 tahun), Jadid Ilias (22 tahun), Anwar Ibrahim (20 tahun), Faiz Mazlan (22 tahun), Zahril Azri Zabri (20 tahun) dan Daniel Amier Norhisham (22 tahun), pasukan bimbingannya, Felda United, membuktikan bahawa mereka mampu bersaing dengan kekal dalam Liga Super untuk saingan musim depan.

Jelasnya, mereka menjalani latihan khusus untuk menghadapi sesuatu perlawanan tetapi dia harus melengkapkan diri dengan kemahiran mengendalikan soal kemanusiaan.

Baginya, cara setiap pemain itu membesar adalah berbeza, bergantung kepada persekitaran.

"Dalam membentuk permainan, saya berasakan 60 peratus daripadanya adalah mengenai pengurusan pemain, selebihnya berkenaan taktikal.

"Saya perlu memiliki kepercayaan terhadap kemampuan anak buah. Mungkin sepanjang 70 minit permainan, dia akan beraksi buruk tetapi saya percaya dia akan mengeluarkan magisnya dalam masa tertentu untuk menjadi pemisah kepada perlawanan, jadi saya tidak perlu terburu-buru buat pertukaran," katanya.

Tambahnya lagi, selain analisis rakaman perlawanan dan latihan taktikal, dia akan mendapatkan pandangan pemain mengenai kecenderungan tindakan mereka dalam permainan -- misalnya gemar membuat larian, menyerang mahupun bertahan.

Begitupun, masih ada separuh lagi ruang dikembangkan di The Fighters dalam meneroka bola sepak moden dan dia percaya mereka sedang berusaha ke arah itu.

Dengan kehadiran ramai pemain muda, Nidzam tidak menolak ia juga sesuatu yang mengujakan walaupun pemain senior juga mempunyai peranannya sendiri.

"Pemain muda gemar mengambil risiko yang lebih besar. Mereka lebih berani mengambil cabaran kerana pemain berpengalaman biasanya sudah tahu kekuatan dan kelemahan mereka sendiri," katanya lagi.

"Tetapi pemain yang masih mentah ini memerlukan ruang untuk beraksi bagi mengutip pengalaman."

Dalam masa yang sama, jurulatih berusia 39 tahun itu mendedahkan bahawa ketika rehat separuh masa, dia cenderung mengambil pendekatan berbeza tetapi tidaklah terlalu tenang ketika di bilik persalinan.

"Ada pemain perlu dikejutkan atau diberi peringatan tetapi arahan yang diberikan akan dibuat semudah yang mungkin.

"Zon 14 atau ungkapan seumpama 'false 9' tiada dalam sesi itu."
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen