Nicol David patut berlatih di Malaysia?

Oleh Nur Amira Ibrahim 13 December 2018 443
Nicol David patut berlatih di Malaysia?
Prestasi ratu skuasy negara, Datuk Nicol David kian menurun apabila ranking dunianya jatuh buat kali kedua dalam tahun ini untuk berada di kedudukan ke-12 dunia sejak 2 Disember lalu. 

Bukan itu sahaja, dia juga tidak lagi bergelar pemain nombor satu Asia selepas 15 tahun. 

Tewas dalam pusingan kedua di Terbuka Hong Kong tempoh hari juga merupakan aksi terburuk Nicol setakat ini dan kali terakhir dia pernah bergelar juara adalah pada Mac tahun lalu di Terbuka Ciudad de Floridablanca, Colombia. 

Prestasi hambar terus dipamer Nicol sehingga tidak lagi berada di kelompok 10 terbaik dunia menyaksikan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) perlu melakukan sesuatu berhubung program latihannya. 

Adakah pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 ini perlu kembali ke tanah air untuk berlatih atau meneruskan lagi latihan di Amsterdam di bawah bimbingan jurulatih, Liz Irving? 

Jika sebelum ini Nicol pernah mengatakan bahawa masih belum tiba masa untuknya kembali ke Malaysia, adakah kini merupakan saat paling tepat buat Nicol? 

Presiden SRAM, Nik Razeen Adam Daud, mengesahkan pihaknya akan bertemu dengan Nicol dan mengadakan perbincangan lebih serius dalam menentukan hala tuju karier pemain berusia 35 tahun itu. 

Sudah pasti salah satu perbincangan itu adalah untuk mengubah kembali program latihannya seiring dengan prestasi semasa yang ditampilkan Nicol setakat ini. 

Walau apapun keputusan SRAM, saya percaya ia adalah demi kebaikan setiap atlet itu sendiri. 

Semoga tahun 2019 dapat menjadi kebangkitan semula Datuk Nicol David sebelum mengambil keputusan menggantung raket. 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen