Neymar tidak terlepas bayang-bayang Messi

Oleh Shaukei Kahar 6 October 2018 1272
Neymar tidak terlepas bayang-bayang Messi
Sejauh mana pun dia lari, Neymar Jr terus dibayangi Lionel Messi di sebalik dia meninggalkan Barcelona untuk melepaskan diri daripada ditenggelami bekas rakan sekelabnya itu.

Terbaru, Neymar melakar hatrik menakjubkan sewaktu Paris Saint-Germain (PSG) mengamuk 6-1 ke atas Red Star Belgrade, hanya untuk disusuli pertunjukan magis Messi sambil FC Barcelona mengerdilkan cabaran Tottenham Hotspur 4-2.

Neymar memilih untuk angkat kaki daripada Barcelona ke PSG musim lalu pada ketika penyerang Brazil itu kelihatan mahu terlepas daripada bayang-bayang Messi.

Tapi dia harus segera menyedari ia perbuatan sia-sia kerana bayang-bayang Messi sebenarnya meliputi segenap planet ini.

Lihatlah apa yang berlaku di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara UEFA (UCL), awal pagi kelmarin.

Neymar menjadi inspirasi dalam kemenangan besar pasukannya dengan tujuh gelecekan, lima peluang terbuka serta tiga gol daripada sembilan percubaan.

Ia satu prestasi hampir sempurna daripadanya hinggakan laman sesawang statistik bola sepak whoscored.com memberikan Neymar markah 10 daripada 10.

Jelas sekali ia bukan satu kebetulan kerana Neymar telah melakar 11 gol dan tiga bantuan jaringan dalam 11 perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.

Neymar mungkin bangun tidur keesokannya mengharapkan untuk membaca puji-pujian tapi tidak demikian jadinya.

Pemain yang dia harapkan dapat melarikan diri daripadanya – juga satu sebab utama dia meninggalkan Barcelona menerusi perpindahan bernilai $280 juta (RM1.16 bilion) ke PSG – menenggelami kejaguhannya hanya berjarak dua jam kemudian.

Ya, benar. Lionel Messi mencuri tumpuan seperti yang sudah kerap dilakukannya. 

Sambil PSG membedil Red Star, Barcelona pula mengerdilkan cabaran Tottenham Hotspur – dan Messi berada di prestasi kemuncaknya dalam kemenangan 4-2 itu.

Media British hanya dapat menghamburkan pujian terhadap Messi selepas perlawanan itu.

Akhbar The Telegraph memaparkan pemain berusia 31 tahun itu “meranapkan” Spurs, The Guardian menggelar persembahannya “masterclass” di samping The Independent menjenamakan bintang Argentina itu “seorang genius yang tidak akan mudah difahami”.

Messi, seperti Neymar, dianugerahkan 10 markah daripada 10 oleh whoscored.com -- dan ia bukanlah yang pertama buatnya musim ini.

Sejumlah 85 peratus daripada 65 hantaran Messi menemui rakan sepasukan, dia mencipta tiga peluang terbuka untuk jaringan di samping menyumbat dua gol daripada enam percubaannya.

Neymar mungkin menuju ke padang latihan PSG dengan satu perkara di dalam fikirannya – dia tidak mungkin dapat lari daripada bayang-bayang Messi.

Tidak sekali-kali jika bayang-bayang Messi terlalu besar hingga meliputi seluruh planet ini.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen