Neymar mungkin undang celaka lebih besar  

Oleh Shaukei Kahar 28 February 2018 15483
Neymar mungkin undang celaka lebih besar  
Neymar mungkin tidak mengetahuinya lagi, namun kecederaan terbarunya mungkin mengundang celaka yang lebih dahsyat daripada yang dijangkakannya.
 
Daripada cara bintang Brazil itu terseliuh dalam kemenangan 3-0 ke atas Marseille, Ahad lalu, ia mungkin tidak seberapa.
 
Begitupun, tindak balas Neymar yang meraung kesakitan ketika terbaring di atas padang sebelum diusung keluar dalam linangan air mata, menceritakan sesuatu yang sama-sekali berbeza.
 
Di sebalik keyakinan ramai selepas perlawanan itu bahawa ia bukan sesuatu yang membimbangkan, kefahaman Neymar terhadap tahap kecederaannya adalah benar – bahawa ia sesuatu yang serius.
 
Pengurus PSG, Unai Emery, cuba untuk tidak memperbesarkan nasib malang tonggaknya itu bahawa ia tidak harus mengetepikan Neymar daripada perlawanan timbal balik Liga Juara-Juara berdepan Real Madrid di Paris, 7 Mac ini.
 
Tambahan pula, ujian x-ray awal tidak menunjukkan sebarang tulang yang patah sehinggalah ujian lanjut semalam mengesahkan selain terseliuh pergelangan kaki, dia turut mengalami keretakan di tulang metatarsal kelima.
 
Satu laporan akhbar sukan Brazil, Globo Esporte, kelmarin menyebut kecederaan itu cukup untuk mengetepikan Neymar selama sebulan.
 
Namun, laporan terbarunya semalam mendakwa pemain itu memerlukan pembedahan untuk memasukkan pin pada tulangnya yang retak itu – yang memerlukan dua bulan untuk dia memulakan latihan pemulihan.
 
Menurut jadual waktu yang dijangkakan akhbar itu, Neymar hanya akan kembali pada Mei untuk beberapa perlawanan terakhir Ligue 1 di samping perlawanan pemanas badan menjelang Piala Dunia Russia yang akan membuka tirai pada 14 Jun.
 
Emery, bagaimanapun, menyangkal laporan Globo itu, dengan terbaru turut menolak desakan bapa pemain itu, Neymar Sr., untuk Neymar menjalani pembedahan.
 
Dalam pada itu, sama ada pembedahan dilakukan ke atas Neymar atau tidak, ia hampir mustahil untuk membayangkan dia mampu kembali daripada terseliuh dan keretakan tulang dalam sesingkat masa.
 
Barangkali gara-garanya jugalah, PSG tidak mengumumkan jadual waktu pemulihan Neymar kerana bimbangkan kemungkinan terburuk yang boleh berlaku.
 
Lupakan saja perlawanan dengan Real Madrid, Selasa depan, kerana apa yang sebenarnya lebih penting ialah Piala Dunia yang akan membuat sepak mula dalam tiga setengah bulan.
 
Ambil contoh dua pemain kebangsaan Jerman yang mengalami kecederaan serupa.

Toni Kroos patah tulang metatarsal pada November 2016. Dijangka terkeluar selama dua bulan, dia bagaimanapun kembali selepas hanya sebulan.

Berbeza keadaannya dengan penjaga gol Bayern Munich, Manuel Neuer – patah tulang metatarsal pada September lalu dan dijangka pulih pada Januari, namun belum mampu bermain hingga kini.

Dilaporkan ia bukan asing untuk penanggung kecederaan ini mengalami komplikasi ketika proses pemulihan. Bekas pemain antarabangsa England, Scott Parker, umpamanya patah tulang metatarsal keduanya pada Disember 2003 dan tidak kembali hingga musim berikutnya.

Kadar pemulihan Neymar bergantung kepada betapa serius kecederaannya.

Tiada siapa boleh berasa pasti ketika ini bahawa dia akan kembali cergas untuk Piala Dunia – melainkan itu yang menjadi harapan ramai.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen