Neymar, bagai sirih pulang ke gagang

Oleh Nafis Abdullah 19 June 2019 33312
Neymar, bagai sirih pulang ke gagang
Selepas heboh dikaitkan dengan jalan pulang ke LaLiga, bintang Brazil, Neymar, akhirnya membuka mulut mengenai statusnya bersama juara Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG).

Ibarat sirih pulang ke gagang, Neymar dilaporkan telah memberitahu pihak pengurusan PSG bahawa dia tidak lagi berminat dengan saingan di Perancis, sebaliknya mahu pulang ke kelab yang ditinggalkannya dua tahun lalu sewaktu bergelar pemain termahal dunia, Barcelona.

"Saya tidak mahu meneruskan cabaran di sini dan mahu pulang ke tempat yang tidak patut saya tinggalkan suatu masa dahulu," kata Neymar kepada Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi.



Persoalannya, sejauh mana impak diberikan Neymar kepada skuad kendalian Thomas Tuchel itu jika dia benar-benar mahu meninggalkan Parc Des Princes?

Menurut Mundo Deportivo, Tuchel dilaporkan mula berang dengan pelbagai masalah yang dicetuskan Neymar, tidak kira di atas padang atau di dalam bilik persalinan, sekali gus membuatkan bekas pengurus Borussia Dortmund itu tidak membantah sekiranya wujud sebarang usaha untuk membawa bintang Brazil itu keluar daripada pasukan.

Menambahkan kehangatan spekulasi kepulangan Neymar ke Camp Nou, akhbar El Mundo mendedahkan bahawa Lionel Messi mahu melihat bekas rakan sepasukannya itu kembali ke Sepanyol dan menafikan perpindahan penggempur Atletico Madrid, Antoine Griezmann, dari Wanda Metropolitano ke Camp Nou tatkala barisan pemain Barcelona tidak bersetuju dengan langkah mendapatkan khidmat tonggak Perancis itu.



Bagaimana dengan Nasser dan pihak pengurusan PSG? Sanggupkah mereka melepaskan pemain yang didapatkan dengan nilai GBP198 juta (RM1.039 bilion) itu sehingga memecahkan rekod perpindahan dunia?

"Saya mahu semua pemain bersedia memberikan segala-galanya untuk mempertahankan kelab. Jika ada antara mereka yang tidak mahu atau tidak memahaminya, kami berjumpa dan berbincang. Tiada siapa memaksa Neymar untuk datang ke sini. Dia datang untuk menyertai sebuah projek," ujar Nasser.

Berdasarkan kenyataan itu, seluruh warga PSG tampak sememangnya sudah mula loya dengan telatah dan sikap Neymar yang lebih banyak mencuri perhatian mengenai isu di luar padang ketika persembahannya musim ini hanya dipenuhi dengan rentetan isu kecederaan.



Dalam masa sama, hubungan renggang di antara Neymar dan tonggak muda PSG, Kylian Mbappe, juga menjadi antara faktor yang mampu membuatkan PSG tidak teragak-agak untuk melepaskan penyerang Brazil itu sekiranya menerima tawaran yang berpatutan. 

Tiada sebab untuk mereka perlu mengekalkan pemain yang membazirkan wang dan masa jika berupaya mendapatkan potensi terbaik di peringkat kelab dan antarabangsa seperti Mbappe.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen