Nasib si badak sumbu Sumatera

Oleh Shaiful Shamsudin 22 April 2019 190
Nasib si badak sumbu Sumatera
Maskot dalam sukan telah berkembang maju selain ia melambangkan budaya, semangat dan perjuangannya. 

Tiada rekod khusus bilakah maskot mula diperkenalkan dalam sukan tetapi ia dipercayai bermula di Amerika Syarikat yang membabitkan besbol, lebih 100 tahun yang lalu.

Kadar dasar kepada maskot berasal daripada perkataan Perancis, mascotte, yang merujuk kepada tuah. 

Ada maskot yang mengenakan kostum di samping ada yang menggunakan makhluk hidup seperti kambing yang dibawa ke stadium. 

Pernah suatu ketika, pemain kelab Bundesliga, FC Koln, Anthony Ujah, terpaksa memohon maaf kepada seluruh kelab itu serta penyokong kerana menarik tanduk kambing yang merupakan maskot suci mereka ekoran terlalu gembira meraikan gol. 

Awal tahun ini, Sabah pula mengambil langkah drastik dengan memperkenalkan maskot baru, Tambadau, bersempena dengan nafas baru yang ditiupkan dalam Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA). 

Tambadau yang merupakan spesis seladang kemudian diperkenalkan bagi menggantikan jenama Sabah Rhinos yang kembali diperkenalkan pada 2015. 

Terdahulu, mereka juga sempat menggunakan identiti SabahHawks dari 2010 sehingga 2015. 

Minggu lepas, kita dikejutkan dengan pengesahan kepupusan badak sumbu Sumatera di Sabah. 

Ia satu perkembangan yang mendukacitakan tatkala takdir mereka angkara tangan manusia sendiri. 

Sebagai manusia, kitalah yang bertanggungjawab atas kegagalan mempertahankan kesinambungan badak sumbu Sumatera dan ia seharusnya menjadi iktibar. 

Dalam masa sama, pengenalan maskot seperti ini boleh meningkatkan kesedaran dan mendidik peminat tentang ancaman terhadap ekosistem kehidupan di luar sana. 

Ia juga mengajar kita betapa pentingnya memastikan kesinambungan terhadap sesuatu dan sukan juga tidak lari, pelapis perlu dipersiapkan atau kita hanya sekadar menagih keajaiban untuk mencapai sesuatu perkara. 
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen