Nasib berbeza Quaresma, Nani 

Oleh Shaiful Shamsudin 18 May 2018 110
Nasib berbeza Quaresma, Nani 
Dua edisi lalu, Ricardo Quaresma terpaksa menelan kepahitan gagal memenangi tempat ke Piala Dunia. 

Bagaimanapun, pada usia 35 tahun, Quaresma masih mendapat kepercayaan jurulatih Portugal, Fernando Santos, untuk mengharungi temasya di Russia bulan depan selepas memainkan peranan besar bersama Besiktas musim ini. 

Pada awal kemunculan kariernya, Quaresma dilabel sebagai pemain sayap berbakat seangkatan dengan Cristiano Ronaldo dan Nani. Namun, masalah disiplin merencatkan perkembangan kariernya. 

Faktor itu pernah diakui Quaresma yang berpendapat, sekiranya lebih bermotivasi, dia pasti mampu menyaingi kehebatan Ronaldo.

Lain pula halnya dengan Nani. 

Bekas pemain sayap Manchester United itu semakin kurang mendapat perhatian. Tenggelam di Valencia, Nani berkelana pula ke Lazio tetapi hanya tampil dua kali dalam kesebelasan utama.

Namun, tanpa pemain yang membuat penampilan ketiga terbanyak itu, Portugal tetap boleh menaruh harapan kepada Andre Silva, Bernardo Silva, Gelson Martins dan Goncalo Guedes bagi tugasan merobek pintu gol lawan. 

Santos turut mengambil langkah berani dengan mengetepikan Andre Gomes yang mula mendapat rentak bersama Barcelona. Barangkali pengendali itu lebih selesa dengan Joao Moutinho mahupun William Carvalho untuk mengukuhkan bahagian tengah. 

Kelincahan Rony Lopes bersama AS Monaco serta Ruben Neves yang membantu Wolverhampton Wanderers meraih tiket Liga Perdana Inggeris (EPL) turut gagal melayakkan mereka mendapat tempat di samping wira Kejohanan Euro 2016, Eder. 

Bahagian pertahanan menjadi nadi kepada kejayaan Euro 2016 kerana Santos cukup serasi dengan tonggak berpengalaman seperti Pepe, Bruno Alves dan Jose Fonte tetapi agak menghairankan apabila nama bintang masa depan, Nelson Semedo, tercicir. 

Ketika ada yang mempertikai langkah itu, Santos berkata: "Daripada segi perspektif manusia, adalah sukar untuk mengetepikan pemain yang membantu kami dalam Euro 2016. 

"Mereka telah menyumbang bab hebat dalam sejarah bola sepak Portugal. Namun, saya perlu membuat pilihan untuk skuad lebih mantap."

Senarai skuad penuh Portugal:

Penjaga gol: Anthony Lopes (Olympique Lyonnais), Beto (Goztepe), Rui Patricio (Sporting)


Pertahanan: Bruno Alves (Rangers), Cedric Soares (Southampton), Jose Fonte (Dalian Yifang), Mario Rui (Napoli), Pepe (Besiktas), Raphael Guerreiro (Borussia Dortmund), Ricardo Pereira (Porto), Ruben Dias (Benfica)

Pemain tengah: Adrien Silva (Leicester), Bruno Fernandes (Sporting), Joao Mario (West Ham United), Joao Moutinho (AS Monaco), Manuel Fernandes (Lokomotiv Moscow), William Carvalho (Sporting)

Penyerang: Andre Silva (Milan), Bernardo Silva (Manchester City), Cristiano Ronaldo (Real Madrid), Gelson Martins (Sporting), Goncalo Guedes (Valencia), Ricardo Quaresma (Besiktas)

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen