Namo den Thanabalan!

Oleh Nafis Abdullah 27 August 2017 253
Namo den Thanabalan!
N. Thanabalan, satu nama yang pasti akan diingati oleh peminat bola sepak tanah air selepas menjaringkan empat gol buat Malaysia ketika masih berbaki satu perlawanan, iaitu final.

Namanya tidak gah seperti Adam Nor Azlin, Jafri Firdaus Chew ataupun Safawi Rasid sebelum bermulanya saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 ini.

Dia hanyalah seorang penyerang berusia 22 tahun yang mewarnai pentas Liga FAM berbanding nama-nama di atas yang sudah pun melakukan penampilan di pentas Liga Super Malaysia.

Namun, tandukan terbang ala Robin Van Persie ketika menentang Myanmar telah memahatkan namanya dalam ingatan setiap penyokong Harimau Malaya.

 
Mungkin terlalu jauh untuk membandingkan gol Thanabalan dengan jaringan yang dihasilkan Van Persie ketika Piala Dunia 2014 menentang Sepanyol, namun tidak salah untuk meletakkan satu penanda aras buat seorang penyerang muda sepertinya.

Anak jati Negeri Sembilan ini sedang membuktikan dirinya sebagai salah seorang penyerang prolifik yang harus dipandang serius oleh setiap lawan dari Asia Tenggara.

Ketepatan tandukan, ketetapan posisi yang betul ketika peluang hadir serta naluri penjaring gol yang menebal dalam dirinya menjadikan Thanabalan sebagai pemain yang sukar diketepikan oleh pengendali skuad negara, Datuk Ong Kim Swee.

 
Tidak kira apa kesudahan Malaysia di pentas final menentang Thailand, Selasa ini, sudah pasti akan ada pasukan yang mula mengintai khidmatnya bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Dia akan menamatkan tempoh pinjamannya di Felcra FC dan akan kembali ke pangkuan pasukan asal, Negeri Sembilan, pada akhir musim ini -- satu berita gembira buat skuad Hoben Jang Hoben yang sedang menduduki tangga ketiga Liga Perdana namun berpeluang cerah untuk merebut slot ke Liga Super musim depan.



Buat peminat bola sepak Malaysia, anda sedang menyaksikan kelibat seorang lagi penyerang yang mampu mencetuskan fenomena dalam bola sepak tempatan.

Teruskan aksi hebatmu Thana, tandukan hebatmu kami tagih dalam final nanti.

Gambar kredit: MASOC, FAM

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen