Muller dah mula

Oleh Nafis Abdullah 23 February 2018 4326
Muller dah mula
Berdasarkan pencapaian yang telah diraih, Thomas Muller pastinya memiliki perjalanan karier yang diidamkan oleh setiap pemain bola sepak.

Enam kejuaraan Bundesliga, empat Piala Jerman dan Piala Super Jerman, satu Liga Juara-Juara Eropah, satu Piala Super Eropah, satu Piala Kelab Dunia serta pastinya, kejayaan menjulang Piala Dunia pada 2014, membuatkan rencah dalam kariernya menjadi impian setiap pemain.

Bagaimanapun, di sebalik kegarangannya di depan gawang lawan, pemenang pemain muda terbaik Piala Dunia 2010 itu lebih dikenali dengan telatah lucu yang sering mencuri perhatian media dan peminat bola sepak.

 

Selepas mencatat kejayaan menamatkan penantian 14 tahun skuad Die Mannschaft dalam Piala Dunia dan Bundesliga bersama Bayern Munich, video Muller menari telah menular menerusi laman FCB.TV, hanya disebabkan gaya tarian yang ditunjukkan sambil berbaju kemeja dan berseluar pendek. Turut kelihatan dalam video tersebut adalah penjaga gol, Manuel Neuer.

Setahun kemudian, selepas Bayern menewaskan Porto 6-1 dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah, Muller telah menggamatkan suasana di Allianz Arena apabila mendapatkan megafon daripada peminat dan bersorak menggunakannya bersama-sama mereka.

Tidak cukup dengan itu, pada tahun 2016, penyerang berusia 28 tahun itu sekali lagi mencuri perhatian apabila menyertai kumpulan One Republic di atas pentas sewaktu meraikan kejuaraan Bundesliga bersama-sama rakan sepasukannya di Bayern.



Pada 12 Januari 2017, penyerang yang telah mencatat 10 jaringan di pentas Piala Dunia itu membuatkan wartawan di lapangan terbang terpinga-pinga apabila menjadikan pasport sebagai telefon bimbit dan berlakon seolah-olah sedang bercakap dengan seseorang, hanya untuk mengelak daripada ditemuramah.



Walaupun gambar dan video lucunya banyak diperlihatkan, Muller tetap menawan hati peminat Bayern menerusi catatan gol yang dihasilkan. 101 jaringan hasil daripada 276 aksi Bundesliga membuktikan sentuhan penyudahnya tidak boleh disangkal.

Muller juga menjadi watak utama sewaktu skuad kendalian Jupp Heynckes itu menyamai rekod kemenangan dalam 14 perlawanan berturut-turut sejak 1980 Bayern, apabila membantu Die Roten membelasah Besiktas 5-0 bagi aksi pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah dan dia turut menjaringkan dua gol di Allianz Arena.



Kini, Muller sekali lagi mencuri tumpuan apabila isterinya, Lisa Muller, memuat naik video bintang Jerman itu melakukan regangan kaki bersama kuda peliharaan mereka melalui laman sesawang, Instagram, dan cara Muller mengajak kudanya itu menggoyangkan kaki telah menarik perhatian ramai.

Buat peminat yang tidak begitu mengenali Muller, harus diingat bahawa walaupun namanya tidak gah seperti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, dia hanya memerlukan enam gol untuk menyamai rekod penjaring terbanyak Piala Dunia sepanjang zaman, Miroslav Klose.
 

Tatkala Bayern kini di landasan terbaik untuk menjulang kejuaraan Bundesliga selepas selesa dengan perbezaan 19 mata di puncak carta dan hampir pasti melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara, siapa tahu mungkin 2018 mampu memberikan tiga kejayaan besar buat Muller, termasuk Piala Dunia 2018 di Russia.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen