Mourinho tidak akan kisah berlari ke bank

Oleh Shaukei Kahar 5 October 2018 3253
Mourinho tidak akan kisah berlari ke bank
Jose Mourinho secara berseloroh mendedahkan dia tidak pernah gentar dengan kemungkinan dipecat oleh Manchester United.

Sebabnya ialah pengurus berbangsa Portugis itu berasakan ia akan menjadi keputusan yang terlalu mahal buat kelab gergasi Liga Perdana Inggeris berkenaan untuk menyingkirkannya.

Mourinho menandatangani kontrak baru bernilai kira-kira £12 juta (RM65 juta) setahun Januari lalu, yang akan mengikatnya sehingga musim panas 2020 dengan opsyen untuk melanjutkannya.

Perjanjian baru itu meletakkannya dalam kedudukan agak kukuh di Old Trafford dengan baki dua tahun yang masih tinggal dalam perjanjian itu.

 “Ramai yang mengatakan kedudukan saya dalam bahaya,” kata Mourinho kepada wartawan Itali yang mewakili La Repubblica dan La Gazzetta dello Sport, “Tapi saya tidak fikir begitu.”

“Jika mereka pecat saya, adakah kamu tahu berapa banyak wang yang perlu mereka bayar kepada saya?”

Akhbar dengan pengedaran terbesar di Britain, The Sun, melaporkan Mourinho boleh menjangka untuk dibayar gaji penuh setahunnya sebanyak £12 juta (RM65 juta) itu andai United memecatnya musim ini.

Sebagai perbandingan, Antonio Conte mendapat pampasan £9 juta (RM48.85 juta) ketika dipecat Chelsea dua bulan lalu di sebalik ia disertakan syarat.

The Blues sebenarnya mengharapkan Conte meletakkan jawatan di bawah tekanan – yang dapat menyelamatkan kelab itu daripada membayar sejumlah besar pampasan – tetapi bekas jurulatih kebangsaan Itali itu ternyata lebih cerdik.

Malah, Conte turut menolak tawaran daripada Presiden Real Madrid, Florentino Perez, kerana menerimanya bermakna dia akan terlepas pampasan £9 juta (RM48.85 juta) itu.

Dia kemudian mendapat bayaran penuh berkenaan daripada Chelsea tanpa melakukan sebarang kerja untuk tempoh setahun berikutnya.

Mourinho, difahamkan, mahu mengikut jejak yang sama di sebalik United sebenarnya sudah belajar daripada kesilapan masa lalu.

Satu klausa turut disertakan dalam kontrak baru Mourinho yang mengelakkannya daripada menerima gaji dua tahun penuh andainya dia dipecat.

Menurut The Sun, ia menimbulkan pertikaian besar ketika United merundingkan pampasan untuk menamatkan khidmat Louis van Gaal sebelum ini. 

“Kelab mahu mengelakkan ulangan perkara yang sama, terutama kerana kontrak Mourinho jauh lebih lumayan daripada Van Gaal,” kata laporan akhbar itu.

“(Louis) Van Gaal berkeras untuk mendapat setiap sen daripada apa yang patut dibayar kepadanya. Mengambil pengajaran daripada itu, United telah menyertakan satu klausa untuk mengelak Mourinho daripada mendapat gaji penuh daripada tempoh kontraknya.”

Namun, ia akan masih membolehkan ‘The Special One’ berlari ke bank dengan ketawa besar.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen