Mourinho saja bikin panas lagi

Oleh Asmawi Bakiri 17 May 2019 28675
Mourinho saja bikin panas lagi
Sukar untuk menutup mulut Jose Mourinho – baik ketika masih berjawatan pengurus mahupun bergelar mantan kini.

Berakhirnya musim Liga Perdana Inggeris dan menjelang final Liga Juara-Juara (UCL), 1 Jun ini, Mourinho kembali menagih tumpuan.

Kali ini dia memperkecilkan pencapaian Pep Guardiola, Jurgen Klopp dan Maurico Pochettino, ketiga-tiganya sekali gus, dibandingkan dengan dirinya yang menjulang trofi UCL atau Piala Eropah atau ‘Si Telinga Besar’ dua kali bersama Porto pada 2004 dan Internazionale Milan pada 2010.

Tujuannya tidak lain untuk bikin panas di samping mengingatkan kelab-kelab besar Eropah bahawa dia sedia mendengar sebarang tawaran untuknya menjelang persiapan pra-musim 2019/20.

Mourinho tetap Mourinho yang sedar dirinya akan terus menjadi buruan untuk menagih keceluparannya dan dia tidak menghampakan – diberikan separuh peluang, dia akan ‘menjaringkan gol’ sekalipun dari kedudukan ofsaid!

Satu temu bual dengan akhbar harian sukan Perancis, L'Equipe minggu ini, digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan apa yang terbuku di hatinya sejak dipecat Manchester United, Disember lalu.



Sebelumnya, dilaporkan bahawa jurulatih berusia 56 tahun itu yang masih berbaki kontrak hingga akhir musim 2020, dibayar pampasan £19.6 juta  (RM104 juta) berikutan pemecatannya pada 17 Disember lalu selepas kekalahan 1-3 kepada Liverpool – fakta yang menjelaskan rasa sakit hatinya terhadap pengurus The Reds, Klopp.

“Apa yang telah dimenangi Klopp atau Pochettino, trofi yang mana satu?” hamburnya mengenai kedua-dua pengurus Liga Perdana Inggeris itu.

“Jurgen akan ke final (UCL) ketiganya. Saya tidak dapat bayangkan perasaannya untuk mengharungi tiga final dan tidak menang,” ujarnya. (Untuk rekod, Klopp tewas enam daripada tujuh final membabitkan kedua-dua Borussia Dortmund dan Liverpool selaku pengurus)

Mourinho, bagaimanapun, akur pertemuan Liverpool-Tottenham di Madrid bermakna salah seorang di antara Klopp dan Pochettino akan mengakhiri penantian terhadap satu trofi utama, dengan pilihannya adalah kepada jurulatih Jerman itu atas kelebihan pengalaman.

“Kedua-duanya memiliki pasukan yang baik, pemain-pemain, struktur yang bagus di samping kedua-duanya adalah jurulatih yang bagus juga. (Sebagai perbandingan), apa yang saya ada yang istimewa untuk memenangi Liga Europa?”

Di sebalik mengakui mengagumi Pochettino sejauh ini, Mourinho, bagaimanapun, pantas menarik perhatian terhadap ketiadaan trofi jurulatih dari Argentina itu – paling hampir ialah ketika Spurs tewas kepada Chelsea dalam final Piala Liga 2015.

Dalam pada itu, Mourinho juga tidak tertarik dengan pengurus City, Guardiola, yang sudah mengatasi pencapaiannya sendiri dengan kejayaan meraih 26 trofi – termasuk trofi EPL, Piala Carabao dan Perisai Komuniti sepanjang musim 2018/19 dan boleh menambah satu lagi dalam final Piala FA menentang Watford, Ahad ini.



Kepada satu soalan sama ada ia menjengkelkannya kerana sudah diatasi, ini jawapan Mourinho: “Tidak, tidak. Sebaliknya, ini mengingatkan bahawa saya sudah meraih 25 trofi (di Portugal, Sepanyol, Itali dan England dengan yang terakhir, Liga Europa bersama United pada 2017).

“Saya harus menang lebih banyak trofi lagi jika tidak berpindah kelab.

“Ketika saya menang Liga Juara-Juara bersama Porto dan Inter, saya akan terbabit dengan Piala Super Eropah, Piala Dunia Kelab dan Piala Super domestik, yang akan memberikan saya 31 trofi keseluruhan.

"Mungkin saya tidak terlalu fokus kepada angka-angka,” ujarnya menyindir.

Mourinho, Mourinho… sahlah tiada dua sepertinya.

Dan sesiapapun boleh meyakininya untuk menghangatkan keadaan.


 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen