Mourinho degil!

Oleh Dayang Zainatull 4 June 2018 34567
Mourinho degil!
Disaat tumpuan kini terarah kepada persiapan pasukan-pasukan yang akan beraksi di Piala Dunia, pengendali The Red Devils, Jose Mourinho, dilihat terus fokus kepada persiapan pasukannya untuk musim hadapan.

Dalam perkembangan terbaru, Mourinho dikhabarkan berkeras mahu mendapatkan bintang Wales, Gareth Bale. biarpun harganya mencecah hampir RM1.062 bilion. Walaupun  terdapat beberapa lagi senarai pendek pemain jika United gagal mendapatkan Bale, namun Mourinho dikatakan berkeras mahukan Bale sahaja dan bukan pemain lain.

Ia susulan prestasi kurang memberangsangkan jentera serangan United biarpun dibarisi pemain bintang seperti Romelu Lukaku, Alexis Sanchez dan Marcus Rashford, selain dalam usaha untuk menyaingi kehebatan musuh setempat mereka, Manchester City, yang meledakkan 106 gol dalam aksi Liga Perdana Inggeris musim ini.

Dalam masa sama, Mourinho turut berkeras agar pemain tengah kebangsaan Brazil, Fred, yang bermain untuk Shakhtar Donetsk agar segera menyelesaikan urusan perpindahan sebelum bermula Piala Dunia jika dia benar-benar serius mahu ke Old Trafford.

Mourinho dilaporkan bengang apabila pemain berusia 25 tahun itu tidak mahu melayan sebarang isu berkaitan perpindahan kelab dan hanya akan memikirkannya selepas berakhir Piala Dunia.

Dayang percaya kedegilan Mourinho ada asasnya memandangkan United tidak mampu beraksi dengan baik secara konsisten sama ada dalam aksi liga, Piala FA atau Liga Juara-Juara Eropah. Prestasi turun naik ini turut membimbangkan peminat setia mereka di seluruh dunia yang mahukan United kembali beraksi seperti ketika di zaman Sir Alex Ferguson. Jadi, ada asasnya kedegilan Mourinho yang mahu segera mendapatkan pemain baru sebelum bermulanya Piala Dunia.

Untuk rekod, hampir 10 pemain Manchester United akan beraksi di pentas Piala Dunia Russia 2018 seperti David De Gea, Ashley Young, Paul Pogba, Lukaku, Rashford serta beberapa pemain lagi dan Dayang mengharapkan mereka mampu memberikan aksi terbaik bersama skuad kebangsaan selain tidak ditimpa kecederaan yang serius.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen