Mourinho, Conte cari damai di hati

Oleh Shaukei Kahar 27 February 2018 1000
Mourinho, Conte cari damai di hati
Jose Mourinho dan Antonio Conte – subjek kepada sengketa yang memuncak bulan lalu – akhirnya memilih untuk berdamai.

Kedua-duanya berjabat tangan sebelum sepak mula perlawanan United-Chelsea di Old Trafford kelmarin dan sekali lagi bersalaman sejurus usai permainan yang dimenangi The Red Devils itu 2-1.

Willian membuka jaringan untuk skuad pelawat itu selepas 32 minit yang diimbangi gol Romelu Lukaku tujuh minit kemudian dan selepas itu terserah kepada pemain gantian, Jesse Lingard, menghadirkan kata pemutus dengan golnya pada minit ke-79 untuk United kembali melonjak ke tangga kedua.

Chelsea menang 1-0 menerusi gol Alvaro Morata di Stamford Bridge dalam perlawanan minggu ke-11 pada 5 November 2017 dan kemenangan 2-1 United kelmarin seakan-akan memberi keadilan kepada kedua-dua pasukan.

Ia satu perlawanan membalas dendam yang sememangnya dinanti-nantikan, yang dihangatkan lagi dengan sengketa kedua-dua pengurus bulan lalu – Mourinho menggelar Conte sebagai “badut” dengan gelagatnya di kawasan teknikal di garisan tepi padang sambil pengurus berbangsa Itali itu melabelkan rakan sejawatannya itu “seorang yang kerdil dan palsu”.



Namun, kedua-dua pengurus itu memasuki perlawanan kelmarin dengan bersalaman untuk tontonan ramai serta mengelakkan daripada bertelingkah sepanjang permainan dari kawasan teknikal masing-masing.

Pada penghujungnya, Mourinho dan Conte sekali lagi berjabat tangan, dengan pengurus United itu dilihat mahu menepuk kepala rakan sejawatannya itu tanpa kedua-duanya bertukar kata-kata dan memadai dengan hanya anggukan.
“Berjabat tangan tidak memerlukan kata-kata,” Mourinho dipetik sebagai berkata. “Saya fikir itu adalah apa yang saya dan Antonio mahu tunjukkan kepada semua orang.

“Berjabat tangan sebelum dan selepas perlawanan adalah contoh anda perlu saling menghormati dalam bola sepak.

“Mourinho dan Conte bukannya dua orang biasa dalam bola sepak, kami memiliki sejarah, suatu imej dan saya benar-benar gembira dengan itu.”

Ditanya apakah dia dan Mourinho telah melenyapkan sengketa di antara mereka lebih awal, Conte mengungkapkan: “Tidak, tidak. Tapi saya fikir anda mahu melihat kami berjabat tangan dan itulah yang kami lakukan. Sekarang cukuplah… ia sudah berakhir.”

Conte mengakui gusar Chelsea mungkin terlepas tempat dalam Liga Juara-Juara sekali lagi – selepas ia terjadi dua musim lalu susulan pemcatan Mourinho selaku pengurus The Blues.

“Ini mungkin situasi yang perlu kami hadapi,” katanya merujuk kepada kedudukan Chelsea di tangga kelima – dua mata di belakang Tottenham di tangga keempat dan enam mata mengekori United di tangga kedua.

“Dalam liga ini, bukan mudah untuk mencari tempat dalam Liga Juara-Juara. Ini adalah risikonya – kami perlu bersedia untuk melawan,” katanya lagi.

Sekurang-kurangnya dia tidak perlu memikirkan kata-kata untuk melawan Mourinho lagi.

Buat masa ini, sekurang-kurangnya.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen