"Mohicans" Terakhir

Oleh Shahrazad Sani 23 April 2018 1402
"Mohicans" Terakhir atau The last of the Mohicans merupakan karya penulisan James Fenimore Cooper dan di adaptasi ke layar perak oleh Michael Mann mengisahkan bagaimana keluarga terakhir suku kaum asli Amerika Utara ini terpaksa menyusuri perang antara Perancis-Great Britain.

Begitulah juga bagaimana saya melihat keperluan Datuk Lee Chong Wei untuk mengekalkan legasi sebagai ikon di antara kebangkitan pencabar kepada takhta dia dalam waktu ini.

Di Sukan Komanwel Gold Coast 2018, jaguh India K.Srikanth membuktikan kekebalan Chong Wei adalah elemen zaman silam yang boleh dieksplotasi mana-mana individu untuk merekodkan kemenangan berharga.

Final perseorangan lelaki membawakan naratif adakah Srikanth akan memutlakkan pengkahiran "Mohican" ini bersandarkan kudrat pemain lebih muda dan agresif.

Wajar untuk saya tawarkan perspektif, Chong Wei sebelum itu sudah dihadiahkan realiti pahit oleh Srikanth yang menewaskan dia dalam perebutan emas berpasukan campuran yang usainya, memihak India.

Menjengah usia 36 tahun dan dilanda kekangan kecergasan, seperti mahu menyelamatkan identiti penghujung cerita sebuah bangsa, Chong Wei bangkit untuk menidakkan Srikanth.

Zarah kelebihan kemahiran teknikal digunakan sebaiknya sambil pengalaman dan kemahuan melawan mendukung Chong Wei untuk mengatasi Srikanth dan menamatkan kempen Komanwel terakhirnya dengan pingat Emas.

Untuk ketika ini, Sang Mohican berupaya untuk memanjangkan satu lagi kisah menakjubkan dalam legasinya.

Entah mengapa waktu mewawancara Chong Wei saya mengajukan persolan yang buat saya sendiri terkesan, Tidakkah boleh Malaysia memujuk dia untuk beraksi sehingga edisi Birmingham 2022?

Mungkin jauh di sudut hati saya, tidak akan ada jaguh badminton seperti dia yang boleh membawa nama Malaysia seperti ini.

Saya betul mahu dibuktikan salah, masa akan jadi bukti sama ada legasi Chong Wei akan dipikul seseorang atau benar-benar dia adalah "Mohican" Terakhir.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen