Mo Salah si permata asli

Oleh Suzana Basri 15 May 2018 4414
Mo Salah si permata asli

Peminat setia pasukan gergasi inggeris, Liverpool pastinya akan memahat kenangan manis bagi musim 2017/2018 sebagai antara yang terbaik. Walaupun gelaran juara Liga Perdana bukanlah milik Liverpool tetapi penamat sempurna di Anfield disebalik turun naik perjuangan kempen ini cukup membanggakan.

Berjaya melunas misi, tamat dikedudukan 4 terbaik untuk memastikan kelangsungan di saingan Liga Juara Juara Eropah yang mungkin akan disertai musim depan dengan status selaku juara bertahan, Liverpool juga boleh berbangga dengan pencapaian Mohamad Salah yang dinobat pemenang kasut emas.

32 gol dalam 38 aksi Liga Perdana, pencapaian yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pemain sebelum ini, mengatasi barisan pemain handalan dunia - Alan Shearer, Cristiano Ronaldo dan Luis Suarez yang masing-masing merekod 31 gol.

Rekod baru ini turut menafikan hatrik penjaring terbanyak dicetak Harry Kane yang menguasai musim 2015/2016 dan 2016/2017 menerusi 25 gol dan 29 gol dalam satu kempen. Penyerang Tottenham Hotspur yang merekod 30 gol musim ini, mengakui prestasinya semakin meningkat kerana cabaran yang dihadirkan oleh Salah.

Salah juga masih boleh mencabar satu lagi rekod sebelum menutup tirai kempen kali ini. Sekiranya berjaya menjaringkan hatrik ketika bertemu Real Madrid pada final Liga Juara Juara hujung Mei ini, penyerang antarabangsa Mesir ini mampu menyaingi rekod legenda Liverpool, Ian Rush iaitu 47 gol semusim.

Kecemerlangan Salah di saingan Liga Perdana kali ini pastinya berbeza berbanding ketika dia membuat penampilan pertama bersama Chelsea. Keputusan pengurusan The Blues melepaskan Salah ke AS Roma pada 2015 sebenarnya adalah permulaan segalanya. Salah mendapat banyak pendedahan di Serie A menerusi kekerapannya membarisi kesebelasan utama.

Hasilnya, Salah kembali sebagai pemain yang berbahaya dan wajar digeruni dunia. Perkara ini diakui bekas pengurus Chelsea, Jose Mourinho yang sebelum ini enggan menurunkan Salah kerana dikatakan belum bersedia daripada segi mental dan fizikal serta kehidupan dan budaya di London. Nampaknya bukan semua pengendali hebat berbakat dan sanggup menggilap permata.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen