Mo Salah – satu persatu rekod lebur

Oleh Shaukei Kahar 26 April 2018 28849
Mo Salah – satu persatu rekod lebur
Sejumlah 43 gol yang dijaringkannya musim ini yang kian hampir ke penghujung, mengangkatnya di atas Cristiano Ronaldo.
 
Mohamed Salah mungkin sudah ditabal oleh penyokong Liverpool sebagai “Raja Mesir” tetapi dia masih boleh dipakaikan pelbagai mahkota lain sebelum kempen musim 2017-18 ini berakhir.
 
Penyerang berusia 25 tahun itu sudahpun dimasyhurkan selaku Pemain Terbaik Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) pada musim yang melonjakkannya sebagai permata paling bersinar dalam bola sepak Inggeris dengan 43 jaringan, termasuk 31 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
 
Dua golnya dalam kemenangan 5-2 Liverpool ke atas Roma dalam separuh akhir pertama Liga Juara-Juara kelmarin terus menjadikannya buah mulut dan diperbandingkan dengan legenda sepanjang zaman.
 
Di belakangnya adalah beberapa rekod yang sudah dileburkannya dan dengan tiga perlawanan liga dan barangkali dua lagi di peringkat Eropah, beberapa catatan lagi harus akan turut terpadam.
 


Rekod yang telah dileburkannya
 
Jumlah gol terbanyak oleh seorang pemain Liverpool dalam kempen Liga Juara-Juara: 10.
 
Selepas gol bergandanya ketika menentang Roma kelmarin, Salah kini telah menjaringkan lebih banyak gol daripada mana-mana pemain Liverpool dalam satu-satu kempen dalam saingan elit Eropah.
 
Pemain Afrika dengan jaringan terbanyak dalam satu-satu musim EPL: 31.

Salah tampil selaku pemain Afrika dengan jaringan terbanyak dalam satu-satu musim EPL dengan golnya yang ke-30 ketika menentang Bournemouth. Itu membolehkan Salah mengatasi 29 gol Didier Drogba pada musim 2009-10.

Pemain kelapan untuk menjaringkan 30 gol atau lebih dalam satu-satu musim EPL.
 
Hanya segelintir pemain yang mampu mengtasi 30 gol dalam satu-satu kempen dan senarainya merangkumi Alan Shearer, Andy Cole, Kevin Phillips, Thierry Henry, Cristiano Ronaldo, Robin van Persie dan Luis Suarez.
 
Jaringan terbanyak oleh seorang pemain Liverpool dalam musim penampilan pertamanya.

Salah telahpun mengatasi Fernando Torres, yang memegang rekod terdahulu dengan 24 gol dalam kempen pada 2007-08, musim pertamanya bersama The Reds.
 
Jaringan dalam paling banyak perlawanan dalam kempen EPL: 23.



Rekod ini sebelumnya dipegang oleh Cristiano Ronaldo dan Robin van Persie, yang menghasilkan jaringan dalam 21 perlawanan berbeza dalam satu-satu musim EPL. Gol Salah ketika menentang West Brom meningkatkan jumlahnya kepada 23 perlawanan.
 
Jaringan terbanyak dengan kaki kiri dalam satu-satu musim EPL: 24.
 
Salah telah memecahkan satu lagi rekod penyerang Liverpool musim ini dengan kaki kiri berbisanya. Robbie Fowler menyumbat 19 gol dengan kaki kirinya dalam kempen 1994-95, dibandingkan dengan Salah yang telah menyumbat 24 gol.
 
Dengan kadar jaringan yang telah dihasilkannya, rekod Ian Rush dengan 47 gol dalam semua kejohanan dalam semusim dalam kempen 1983-84 – Salah telah menyumbat 43 gol setakat ini – turut berada dalam jangkauan daripada baki lima perlawanannya.
 
Ayuh Salah ayuh!

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen