Mo Salah – dunia di kakinya

Oleh Shaukei Kahar 27 April 2018 5202
Mo Salah – dunia di kakinya
Mohamed Salah kini melihat ketidakmungkinannya untuk memenangi anugerah Ballon d'Or 2018 berkurangan selepas dua golnya ketika berdepan Roma, malam Selasa lalu.

Dengan 43 golnya untuk Liverpool dalam semua kejohanan musim ini, dia dilihat berupaya memecah dominasi Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi selama sedekad terhadap anugerah berprestij itu.

Malah, kebanyakan agensi pertaruhan meletakkan penyerang Mesir berusia 25 tahun itu di atas kedua-dua Ronaldo dan Messi – secara tidak langsung mengangkatnya selaku pemain pertama selain kedua-dua bintang LaLiga itu untuk memenanginya sejak kali terakhir dimiliki Kaka pada 2007.





Dengan gol bergandanya dalam separuh akhir pertama Liga Juara-Juara itu, Salah kini adalah adalah pendahulu senarai penjaring di seluruh Eropah, disusuli oleh Ronaldo dan Messi, masing-masing dengan 41 dan 35 gol.

Tetapi ia akan memerlukan lebih daripada gol-gol untuk meraih undi pemain-pemain, pengurus dan wartawan terpilih dari seluruh dunia untuk dinobatkan pemenang Ballon d'Or.

Dalilnya, Ronaldo menyumbat sejumlah 61 gol pada musim 2014-15 dan masih tewas dalam perebutan kepada Messi, yang kekurangan tiga gol daripadanya.

Sejarah menunjukkan memenangi trofi Liga Juara-Juara adalah peri penting dalam menentukan pemenang Ballon d'Or – lapan daripada 11 pemenang terakhir anugerah itu telah merangsang pasukan masing-masing menjuarai saingan elit Eropah itu pada tahun yang sama.

Pengecualiannya ialah pada 2010 apabila Messi menyumbat 60 gol dan menjuarai LaLiga; pada 2012 apabila penyerang Argentina itu menghasilkan 91 gol yang menakjubkan; dan pada 2013 apabila Ronaldo menggegarkan jaring sebanyak 67 kali sambil pesaing terdekatnya itu dihimpit masalah kecederaan.





Dengan Ronaldo dan Real Madrid masih bersaing dalam separuh akhir Liga Juara-Juara dengan Bayern Munich, pemenang Ballon d'Or tahun ini mungkin berkisar kepada sama ada Liverpool atau kelab gergasi Sepanyol itu yang menjulang trofi juara.

Dalam pada itu, Piala Dunia di Russia, Jun ini,  besar kemungkinan juga akan menjadi faktor penentu.

Tambahan pula, Salah, Ronaldo dan Messi siap sedia untuk memperagakan skil masing-masing di pentas terbesar dunia pada musim panas ini dan prestasi masing-masing akan mempengaruhi pengundian untuk Ballon d'Or lewat tahun ini.

Cukup untuk disimpulkan anugerah itu pasti milik Salah andainya Mesir – dengan kebarangkalian 300/1 – muncul juara Piala Dunia.

Dalam pada itu, jika Salah mampu mengemudi Mesir ke separuh akhir, umpamanya, di samping menamatkan Piala Dunia selaku penjaring terbanyak, ia mungkin mencukupi untuknya mengatasi pesaing-pesaingnya .

Malah, Piala Dunia juga menawarkan peluang buat Messi dan Ronaldo merapatkan jurang – Argentina dan Portugal masing-masing dengan kebarangkalian 8/1 dan 20/1 untuk tampil juara – dalam perebutan Ballon d'Or sekali lagi.

Buat Salah, bagaimanapun, dunia kini di kakinya.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen