Mitos jersi nombor 9 di Arsenal yang berpuaka

Oleh 12 July 2017 120
Mitos jersi nombor 9 di Arsenal yang berpuaka
Nombor 9 kebiasaannya dikaitkan dengan penyerang untuk sesebuah pasukan. 
Legenda bola sepak dunia seperti Ronaldo de Lima, Gabriel Batistuta mahupun Alan Shearer, kesemuanya pemain yang sinonim dengan jersi nombor 9.
Namun, jersi nombor 9 di Arsenal mempunyai kisah cukup berbeza.
Peminat The Gunners berasakan jersi itu mempunyai sumpahan, berpuaka, malah memberi nasib malang kepada si pemakai.
Penyerang yang baru dibeli dengan rekod perpindahan kelab, Alexandre Lacazette, merupakan pemain terbaru yang diberi jersi nombor 9 ini.
Adakah dia akan terkena tempias badi nombor ini, ataupun boleh menamatkan sumpahan yang berlarutan lamanya? 
Olivier Giroud pernah ditawakan jersi nombor 9, namun dia menolak dengan alasan tidak adil kepada peminat yang sudah membeli jersinya yang bernombor 12.
Mari kita singkap pemakai jersi nombor 9 di Arsenal sejak zaman mellenium.

FRANCIS JEFFERS
Pemain yang berpindah dari Everton ini hadir dengan reputasi sebagai prospek masa hadapan England. Namun, segala-galanya tampak tidak menjadi buat Jeffers. Hanya kekal di kelab selama tiga musim, membuat penampilan liga sebanyak 22 kali dan menjaringkan empat gol sebelum kembali semula ke Everton.

JOSE ANTONIO REYES
Jose Antonio Reyes berpindah ke Arsenal pada jendela perpindahan bulan Januari 2003. Aksi cemerlangnya bersama Sevilla memikat Wenger untuk mengikat Reyes. Bertubuh agak kecil, licik melepasi pertahanan dan mempunyai kaki kiri yang bagus. Musim kedua Reyes dianggap cemerlang, membuat 39 penampilan dalam semua pertandingan dan menjaringkan 12 gol. Namun, kerana rindukan kampung halaman, ia menjadi masalah buat Reyes, sekaligus tidak gembira di utara London. Hanya kekal tiga musim sebelum menyertai Real Madrid secara pinjaman dengan pertukaran bersama Julio Baptista.

JULIO BAPTISTA
Pemain ini masuk sebagai sebahagian perjanjian pertukaran bersama Reyes di Real Madrid. Dia diberikan jersi nombor 9 milik Reyes sepanjang satu musim. Hanya membuat 11 penampilan liga dengan tiga gol dicetak sebelum kembali semula ke Real Madrid.

EDUARDO
Eduardo dibawa masuk bagi mengatasi krisis penyerang di Arsenal ketika itu. Pemain antarabangsa Croatia ini hadir dengan tanda harga GBP7.5 juta daripada Dinamo Zagreb. Musim pertama, Eduardo meledak 12 gol daripada 31 penampilan dalam semua pertandingan. Namun, pada 23 Februari 2008, detik hitam melanda pemain ini. Dia dikasari pemain Birmingham City, Martin Taylor, dan mengalami kecederaan serius dan terpaksa berehat selama setahun. Selepas kembali, dia gagal untuk kembali ke prestasi kemucak. Hanya kekal selama tiga musim sebelum berpindah ke Shakhtar Donetsk.

PARK CHU-YOUNG
Cara Park Chu-Young ke Arsenal cukup lucu. Dia sudah hampir untuk melakukan proses perubatan bersama kelab Liga Perancis, OSC Lille. Namun, selepas menyedari minat Arsenal, dia bertindak keluar dari hotel sebelum menandatangani kontrak bersama Arsenal dengan nilai hampir GBP2 juta. Park gagal menempatkan diri dalam kesebelasan utama. Hanya semusim dia menyarung jersi nombor 9 sebelum diberikan nombor 30. Sepanjang tiga musim, Park hanya sekali membuat penampilan dalam liga.

LUKAS PODOLSKI
Lukas Podolski hadir dengan reputasi besar. Dia merupakan pemain berpengalaman dalam skuad Jerman, berpindah dari kelab Cologne dengan yuran GBP10.9 juta. Musim pertama cukup cemerlang buat Podolski. 42 penampilan dengan merekod 16 gol dalam semua pertandingan, menyebabkan peminat beranggapan dia penyerang tulen yang The Gunners perlukan. Musim seterusnya, dia mula bertukar posisi ke sayap kiri, dan mula sukar menembusi kesebelasan utama. Sepanjang tiga musim bersama Arsenal, Podolski merekodkan 60 penampilan liga dengan mencatat 19 gol. 

LUCAS PEREZ
Lucas Perez dibeli dengan nilai GBP17.1 juta daripada kelab Deportivo La Coruna untuk memberi cabaran kepada Olivier Giroud. Namun, kerana kekangan peluang, dia gagal menunjukkan aksi sebenar. Cakap-cakap belakang menyatakan pembelian Perez bukan dibuat Arsene Wenger, sebaliknya daripada lembaga pengarah. Walaupun berjaya menjaringkan hatrik dalam saingan Liga Juara-Juara menentang FC Basel, dia terus tenggelam dalam saingan liga. 11 penampilan dan hanya menjaringkan satu gol. Kini terpaksa memberikan nombor 9 kepada Lacazette, dan sudah berkira-kira untuk keluar dari Arsenal. 

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen