Mind Set positif pemain hasilkan keputusan luar biasa

Oleh Azlan Mubin 14 August 2019 2073
Mind Set positif pemain hasilkan keputusan luar biasa
Skuad muda negara meraih kemenangan luar biasa menundukkan Australia 3-0 dalam aksi keempat kumpulan B, Kejohanan AFF B-18.

Kejayaan ini hasil dua jaringan penyerang utama negara, Luqman Hakim Shamsuddin pada minit ke-17 dan 39 serta Muhammad Azam Azmi Murad pada minit ke-27.

Di atas kertas sememangnya skuad The Soccerroos ada kelebihan selepas mudah menundukkan lawan dalam tiga perlawanan untuk memperoleh sembilan mata. Malah, mengumpul 12 jaringan hasil kemenangan ke atas Kemboja, Vietnam dan Thailand mengukuhkan lagi Australia selaku pilihan.

Namun, anak-anak muda negara tampil bertenaga dan membuktikan bahawa faktor fizikal bukan halangan untuk menundukkan skuad kendalian Gary Van Egmond.

Selain itu, pastinya banyak faktor lain yang mendorong ke atas kejayaan ini.

Tetapi, apa menarik tumpuan saya ialah mengenai ‘mind set positif’ pemain-pemain negara.

Dengan apa yang diterjemahkan dalam perlawanan ini menggambarkan bahawa pemain-pemain beraksi tanpa tekanan dan mampu merealisasikan perancangan pasukan.

Malah, ‘mind set’ pemain-pemain negara telah menghasilkan gol-gol yang ‘ada kelas’.

Kita lihat gol pertama, bermula hantaran jauh daripada Mohd Nasip Mohammad Zain mencari Luqman dan diikuti larian pantas Luqman berjaya melepasi dua pertahanan Australia, Brandley Chick dan ketua pasukan, Noah Henry Pagden, dan dengan tenang Luqman menewaskan penjaga gol, Jackson Henry Lee.

Begitu juga dengan gol kedua, sikap pemain yang sentiasa bernafsu telah menghasilkan gol cantik apabila Muhammad Azam Azmi Murad melepaskan rembatan separa voli hasil sepakan sudut berkualiti Muhammad Firdaus Khaironnisam.

‘Mind set’ positif anak-anak buah Bradley Maloney berterusan sehingga menghasilkan gol ketiga menerusi serangan pantas yang direncanakan oleh hantaran jauh Muhammad Firdaus mencari Luqman Hakim di sebelah kiri pintu gol Australia, yang mana penyerang muda berusia 16 tahun itu dengan tenang melepasi kawalan Noah Henry Pagden dan melepaskan rembatan menewaskan sekali lagi Jackson Henry.

Malah, ‘mind set positif’ ini turut menyaksikan pasukan negara memperagakan tahap disiplin yang tinggi sehingga berjaya mempertahankan kubu sehingga tiupan wisel terakhir, sekali gus meletakkan pasukan negara selaku pendahulu Kumpulan B.

Namun, apa yang diharapkan ialah ‘mind set’ serta sikap positif ini berterusan dan akan dinokhtahkan dengan kemenangan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan berdepan Thailand untuk memastikan Malaysia mara ke peringkat separuh akhir.

 




 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen