Mesir di Piala Dunia: Jadi mumia atau Firaun?

Oleh Nafis Abdullah 4 June 2018 5465
Mesir di Piala Dunia: Jadi mumia atau Firaun?
Berbanding nama besar seperti Afrika Selatan, Nigeria, Ghana dan Cameroon, Mesir bukan satu pasukan yang sering menjadi sebutan dalam era bola sepak moden walaupun telah memenangi tujuh kejuaraan Piala Afrika.

Lebih-lebih lagi, mereka gagal mempamerkan taring sebenar di peringkat lebih tinggi apabila hanya melakukan dua penampilan di pentas Piala Dunia, iaitu pada 1934 dan 1990, sambil kedua-dua edisi itu menyaksikan mereka gagal melepasi saingan peringkat kumpulan tanpa meraih sebarang kemenangan.

Bagaimanapun, senario itu tampak semakin berubah dalam tempoh 10 tahun terakhir.



Di peringkat kelab, wakil daripada Mesir telah melakukan empat penampilan dalam 10 final terakhir bagi saingan Liga Juara-Juara Afrika (CAF) apabila Al Ahly melakukannya pada 2008, 2013 dan tahun lalu sementara Zamalek FC tewas di tangan Mamelodi Sundowns di pentas akhir dua tahun lalu.

Secara tidak langsung, ia membantu perkembangan skuad kebangsaan Mesir atau The Pharaohs sehingga membolehkan pasukan kendalian Hector Cuper itu muncul juara peringkat kelayakan Piala Dunia 2018 Kumpulan E pusingan ketiga zon Afrika, sekali gus menempah tiket automatik ke Russia.

Paling mencuri tumpuan sudah pasti Mohamed Salah, individu penting skuad Mesir yang telah mengharungi musim 2017/18 dengan cemerlang menerusi catatan 44 gol dan 16 bantuan jaringan dalam 51 penampilan bersama Liverpool di bawah kendalian Jurgen Klopp.



Bagaimanapun, kini pemain berusia 25 tahun itu sedang bergelut untuk memastikan dirinya mampu tampil dalam aksi pertama peringkat kumpulan Piala Dunia 2018 menentang Uruguay pada 15 Jun ini ekoran kecederaan bahu yang dialami dalam final Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid pada 27 Mei lalu. 

Situasi itu pastinya membuatkan Cuper tidak senang duduk kerana berdasarkan persembahan The Pharaohs sebelum ini, percaturan yang diterapkan dalam hampir kesemua perlawanan menggunakan kudrat Salah sepenuhnya dalam menjana setiap serangan.

Dalam masa sama, persembahan terbaik daripada pemain lain yang berkelana di Eropah seperti Ahmed El Mohamady (Aston Villa, England), Ahmed Hegazi dan Ali Gabr (West Bromwich Albion, England), Mohamed Elneny (Arsenal, England), Mahmoud Hassan "Trezeguet" (Kasimpasa, Turkey) serta Ramadan Sobhi (Stoke City, England) sudah pasti diharapkan oleh Cuper kerana sedar dia tidak boleh mengharapkan kudrat Salah semata-mata di pentas sebesar Russia 2018, sama seperti apa yang dilalui Argentina dengan Lionel Messi.

Selain itu, Mesir juga akan mencipta rekod baru dalam Piala Dunia 2018 apabila penjaga gol, Essam El Hadary, bakal beraksi selaku pemain paling tua dalam sejarah kejohanan pada usia 45 tahun, 22 tahun selepas melalui debut pertamanya bersama The Pharaohs.



Sama ada Salah sempat pulih atau tidak, Cuper seharusnya sudah mula mencongak strategi yang ampuh untuk berdepan cabaran Kumpulan A berdepan Uruguay, Arab Saudi dan tuan rumah, Russia. Sama ada harapan mereka terkubur awal atau akan menjadi pasukan terbaik yang pernah lahir daripada Mesir, ia harus diterjemahkan setiap pemain di atas padang.

Akan diabaikan seperti pasukan lepas atau diingati selamanya bermakna barisan pemain The Pharaohs akan berdepan persimpangan sama ada menjadi mumia yang tidak dihiraukan atau Firaun yang diingati sepanjang zaman.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen