Mesin gol, Shahrel Fikri -- impiannya hampir musnah kerana masalah jantung

Oleh Adam Zamri 6 July 2017 1232
Mesin gol, Shahrel Fikri -- impiannya hampir musnah kerana masalah jantung
Kelibat Shahrel Fikri sedang meniti status penyerang tempatan berbisa dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) bersama sebuah pasukan kelab, PKNP FC. 

Beraksi dalam Liga Perdana, penampilan pertamanya dalam aksi Piala Malaysia tidak mengecewakan. Dua jaringan Shahrel cukup untuk menjadikan perlawanan pertama pasukan PKNP dalam saingan piala tertua di rantau Asia itu berakhir dengan satu kenangan indah, iaitu tiga mata berjaya dibawa pulang daripada Terengganu apabila menewaskan pasukan yang beraksi di Liga Super, T-Team 2-1. 

Kini, Shahrel sudah mengumpul sebanyak 10 gol daripada 19 perlawanan termasuk Piala Malaysia, Liga Perdana dan Piala FA.

Dia sendiri tidak menduga mampu mencuri perhatian peminat bola sepak tempatan selepas insiden 2014 yang hampir membuatkannya berpaling dari sukan ini.

Shahrel pernah menabur bakti bersama pasukan Piala Presiden Perak dan dia juga sempat ditawarkan untuk bersama skuad Harimau Muda B. 

Laporan perubatan yang dikeluarkan ketika itu menunjukkan dia punyai masalah jantung, sekaligus menjadi alasan dia digugurkan mewakili negara.

“Saya sedih dan menangis apabila tahu tentang berita itu, tiga bulan saya tak nak tengok ataupun main bola,” katanya. 

Luah Shahrel yang ketika itu berusia 21 tahun. Dia kembali ke padang bola sepak selepas dipujuk pengurus skuad Piala Presiden Perak pada ketika itu, Rizal Mat Ali.

Shahrel menyarung skuad muda Seladang pada jendela perpindahan April 2014. Sejak dari itu dia terus buktikan yang dia masih mampu memberikan yang terbaik meskipun mmepunyai masalah jantung.

Pada 2014 menyaksikan dia membantu negerinya, Perak, menjadi juara Sukan Malaysia (Sukma) dengan menewaskan tuan rumah, Perlis, 3-1.

Dalam perlawanan itu Shahrel turut menjaringkan dua gol untuk menghadiahkan pingat emas buat kontijen perak.

Dia juga membantu Perak meraih Piala Presiden pada tahun yang sama apabila menewaskan Pahang di pentas final dengan keputusan 3-2, salah satu jaringan disumbangkan Shahrel dalam perlawanan tersebut.

Selepas tiga tahun, Shahrel makin terus memajukan dirinya, meledak jaringan demi jaringan untuk memahat namanya antara penyerang tempatan yang prolifik.

Harus diingat, rata-rata senarai penjaring dalam Liga Malaysia ketika ini dipelopori pemain import.
 
Pencapaian yang harus dipandang oleh jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada jika mahu muka baru membarisi skuad negara. 

Di PKNP, Shahrel boleh beraksi baik di sayap kanan, mahupun kiri dan kadang kala digunakan sebagai penyerang bergantung -- kepada taktikal dan situasi yang diperlukan,

“Jika ada rezeki dan peluang, Insya-Allah saya akan cuba memberikan aksi terbaik untuk pikat hati jurulatih negara (Vingada)," ujar Shahrel menerusi perbualan telefon apabila diajukan jika dia dipanggil untuk jalani latihan pusat bersama Harimau Malaya kelak.

Kredit imej: Arena Seladang 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen