Mentaliti vs rokok

Oleh Suzana Basri 15 June 2018 6428
Mentaliti vs rokok
Secara amnya, kita tahu bahawa merokok itu membahayakan kesihatan dan ia satu tindakan yang berlawanan dengan nilai-nilai yang dipraktikkan pengamal sukan.

Maka, secara jelas perbuatan pemain badminton negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin mengamalkan tabiat merokok amat dikesali, sehingga timbul kerisauan mengenangkan masa depan sukan negara, apakah ia perkara biasa dalam kalangan atlet?

Kisah atlet negara dan rokok bukan perkara baharu. Ia juga pernah tular tidak lama dahulu, sekitar tahun 2014, membabitkan pemain bola sepak negara, Safee Sali. Ketika skuad kebangsaan berada di Singapura, dia tertangkap merokok dalam satu foto yang dimuat naik menerusi akaun facebook warga negara jiran itu.

Seiring kemajuan teknologi, kesedaran dalam kalangan atlet mengenai kesan sampingan merokok sepatutnya lebih menular. Cari sahaja dicarian google, ada beratus-ratus artikel menjelaskan secara terperinci bagaimana rokok menghalang seseorang atlet itu mendapat stamina maksima.

Antara yang saya jumpai - Karbon monoksida yang terdapat dalam asap rokok akan meresap ke dalam darah dan menyingkirkan oksigen, sekaligus menyebabkan jantung perlu mengepam darah lebih laju, menaikkan kadar pernafasan dan meningkatkan paras asid laktik dalam otot. 

Paras asid laktik yang tinggi menyebabkan otot mudah letih dan kurang anjal – termasuklah otot jantung. Ini menyebabkan jantung perokok tidak mampu mengepam oksigen ke darah sebagus jantung bukan perokok. Ini juga menjadikan atlet perokok lebih bergelut untuk mencapai dan mengekalkan prestasinya dalam satu-satu perlawanan. Dalam kes Iskandar Zulkarnain, permainan rally panjang pasti menyukarkannya.

Tetapi bagaimana jika atlet itu perokok tegar dan masih memberikan keputusan positif? Saya kira dia cukup bernasib baik atau mungkin sahaja acara yang disertainya tidak membabitkan banyak larian. 

Sebagai penyokong Real Madrid, saya mahu kaitkan bekas pemain dan jurulatih, Zinedine Zidane yang banyak kali ditangkap paparazzi - merokok sebelum perlawanan bermula dan masih beraksi cemerlang bersama negara kelahirannya, Perancis. Mungkin kerana dia ada rakan sepasukan yang rajin bawa bola kepadanya seperti Patrick Vieira. 

Apa pun, kita perlu berbalik kepada mentaliti masing-masing. Bersetuju menjadi atlet itu menjadikan anda milik negara namun sekiranya masyarakat di negara ini masih membuang sampah merata-rata, saya kira mereka juga belum layak untuk memperkatakan tentang disiplin.  

Semoga pemergian Ramadan kali ini memberikan 1001 pengajaran yang berguna buat kita semua dan diberikan peluang untuk bertemu lagi tahun hadapan. Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen