Mengapa pertembungan Wrestlemania antara AJ Styles dan Nakamura menjadi wajib tonton?

Oleh 16 March 2018 876
Mengapa pertembungan Wrestlemania antara AJ Styles dan Nakamura menjadi wajib tonton?
Sejak penyertaan AJ Styles dan Shinsuke Nakamura ke WWE pada tahun 2016, para peminat gusti telah mula memasang impian untuk menyaksikan kedua-dua bintang sensasi antarabangsa ini bertemu semula setelah masing-masing pernah mencipta fenomena dalam pertemuan sebelum ini.
 
Dalam perlawanan bagi merebut kejuaraan Antara Benua IWGP (International Wrestling Grand Prix) oleh NJPW (New Japan Pro Wrestling) di acara Wrestle Kingdom 10 pada 4 Januari 2016, banyak pihak telah terpempan terhadap mutu perlawanan yang dipersembahkan kedua bintang ini dan telah mendapat penarafan lima bintang oleh beberapa penganalisis sukan gusti terkemuka. Kehebatan perlawanan yang berdurasi selama 24 minit itu kekal menjadi buah mulut peminat sehingga hari ini.
 
Menariknya, kedua bintang ini sama-sama menamatkan kontrak dengan NJPW selang beberapa hari pasca perlawanan epik tersebut bagi melebarkan lagi legasi masing-masing di pentas yang lebih besar iaitu WWE. Namun, mereka melalui jalan yang berbeza apabila Nakamura diserapkan ke jenama NXT manakala AJ pula terus menyertai roster utama atas kelebihan pengalaman bergustinya di pelbagai lapangan seantero dunia sejak tahun 2002.


 
Jika ingin dilihat resume kedua penggusti ini, tidak banyak perbezaan yang dapat kita lihat. Nakamura dan AJ merupakan bekas juara dunia dan pelbagai lagi kejuaraan. Cuma AJ dilihat lebih ke hadapan kerana pernah menjadi juara utama di pelbagai organisasi berbanding Nakamura yang hanya mencipta nama negara kelahirannya Jepun.
 
Sejak tahun 2002, The Phenomenal One telah mencipta fenomena dan beberapa kali dinobatkan sebagai penggusti terbaik dunia. Menjadi antara bintang utama di TNA Wrestling sejak syarikat tersebut bermula, AJ terus gah dengan pernah memenangi Kejuaraan Heavyweight Dunia syarikat itu sebanyak lima kali sebelum memilih untuk meninggalkan organisasi yang diasaskan oleh Jeff Jarrett tersebut pada 2014.
 
Ingin membuktikan yang dirinya adalah penggusti hebat walau berada di benua mana sekalipun, AJ berhijrah ke Jepun dengan menyertai NJPW. Di situ, AJ terus dikagumi kawan dan lawan apabila menjadi pemimpin gagasan berhaluan kiri utama dan turut bergelar Juara Heavyweight Dunia IWGP sebanyak dua kali di sana.
 
Penyertaan AJ Styles ke WWE begitu mengujakan peminat gusti di seluruh dunia. Penulis sendiri menjerit kegirangan apabila AJ menjadi peserta kejutan perlawanan Royal Rumble pada 2016 kerana tidak percaya yang bintang ini akhirnya akan mendarat ke WWE.
 

 
Dengan corak perlawanan yang tangkas serta bertenaga, disulami dengan aksi-aksi anti graviti, AJ mudah serasi dengan WWE dan diterima baik oleh para bintang WWE lain termasuk Vince McMahon sendiri. Ganjarannya, dalam tempoh dua tahun, AJ telah berjaya merangkul Kejuaraan WWE sebanyak dua kali. Satu pencapaian yang amat membanggakan, khususnya buat seorang bintang yang pernah mencipta nama di sirkit luar WWE.
 
Bagi Nakamura pula, kerjayanya sebelum ini hanya tertumpu di Jepun. Juga memulakan kariernya pada tahun 2002, bintang yang sinonim dengan gaya gusti Strong Style ini juga telah merangkul kejuaraan dunia IWGP sebanyak tiga kali, termasuk beberapa lagi kejuaraan utama di sana seperti Kejuaraan Antara Benua dan Regu. Memungkinkan Nakamura menjadi antara penggusti yang mempunyai kelasnya yang tersendiri di arena gusti negara matahari terbit itu.
 
Jika AJ cuba menyesuaikan diri dengan bergusti di Jepun, situasi yang sama juga berlaku kepada Nakamura yang buat julung-julung kalinya memberanikan diri untuk berhijrah ke Amerika Syarikat untuk menyertai WWE. Harus diingat yang suasana bergusti di kedua negara ini adalah berbeza dan bukan mudah untuk menyesuaikan diri.
 

 
Namun langkah nekad Nakamura ini tidak sia-sia apabila beliau berjaya mencipta nama yang gah dalam tempoh yang singkat di hadapan para NXT Universe. Malah, Nakamura menjadi bintang Jepun pertama yang bergelar Juara NXT dengan menumpaskan bintang seperti Finn Balor dan Samoa Joe. Betapa gilanya penonton terhadap Nakamura, setiap kali kemunculannya pasti akan disambut dengan nyanyian beramai-ramai oleh penonton mengiringi lagu tema The Rising Sun yang begitu gemersik.
 
Pasca Wrestlemania tahun lalu, Nakamura diserap masuk ke roster utama iaitu jenama Smackdown Live. Momentum Nakamura dilihat agak perlahan sewaktu mula-mula masuk dan tidak banyak mencipta impak. Barangkali kerana kekangan serta keterbatasan bahasa Inggerisnya yang menyebabkan bintang Jepun ini kurang melakukan segmen promo dan hanya fokus kepada aksi dalam gelanggang.
 
Kekalahan demi kekalahan Nakamura kepada Jinder Mahal bagi perebutan Kejuaraan WWE tahun lalu juga sedikit sebanyak membuatkan keyakinan para WWE Universe terhadap Nakamura sedikit longgar. Namun ia tidak mematahkan semangat bintang berusia 38 tahun ini untuk berusaha lebih keras lagi. Natijahnya, Nakamura berjaya menjadi pemenang perlawanan Royal Rumble awal tahun ini dan menempah tempat sebagai pencabar utama Kejuaraan WWE di Wrestlemania pada 9 April depan.
 


Dengan AJ yang berjaya mempertahankan kejuaraannya di acara WWE Fastlane minggu lalu, kini telah sah yang Nakamura akan mengikat janji temu dengan AJ Styles dengan Kejuaraan WWE menjadi taruhan. Impian WWE Universe dan para peminat gusti seluruh dunia untuk menyaksikan kembali perlawanan dua tahun lalu kini menjadi realiti.
 
Tidak keterlaluan untuk dikatakan yang pertembungan ini setara kehangatannya dengan pertemuan antara Roman Reigns dan Brock Lesnar bagi Kejuaraan Universal, atau mungkin lebih hebat lagi. Pastinya aksi terbang AJ yang akan teruji dengan gaya strong style Nakamura bakal menjanjikan sebuah perlawanan klasik dan mencipta momennya yang tersendiri di pentas Wrestlemania.



Jika Nakamura berjaya menundukkan AJ kelak, secara tidak langsung ia akan mencipta sejarahnya yang tersendiri kerana Nakamura akan menjadi bintang Jepun pertama menggondol Kejuaraan WWE. Pasti ia akan membanggakan bintang-bintang Jepun di WWE sebelum ini seperti Antonio Inoki, Taka Michinoku, Funaki, Kenzo Suzuki, mendiang Mr Fuji dan ramai lagi, termasuk para peminat di rantau ini.
 
Persoalan juga bakal terjawab. Yang manakah lebih berbisa antara serangan lutut Kinsasha milik Nakamura dengan hempasan Styles Clash oleh AJ, Tidak kira siapa pun yang akan beroleh kemenangan kelak, para penonton diharap akan terlopong keterujaan dengan setiap aksi yang akan ditampilkan.
 
(Foto: WWE.com)
 
Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Wrestlemania dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro dan Astro Go.
 
Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen