Media tidak selalunya betul 

Oleh Rizal Hashim 23 April 2018 3420
Media tidak selalunya betul 
Baru-baru ini keluarga media tempatan digemparkan dengan tindakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menarik balik kad akreditasi seorang penulis portal bola sepak yang berpengaruh.

Penulis muda itu dianggap mengkritik secara melampau dan MFL berhak menarik balik atau membatalkan akreditasi pada bila-bila masa mengikut terma dan syarat yang tercatat di belakang kad berkenaan.

Sepintas lalu, penulis tidak bersetuju dengan tindakan MFL.

Dalam dunia tanpa sempadan yang menggalakkan penghuni alam maya meluahkan ekspresi sama ada mereka betul atau tidak, sukan adalah pentas paling bebas untuk menyatakan pendapat.

Namun selepas mengambil kira semua sudut, penulis percaya pengamal media harus dididik untuk mengambil sepenuh tanggungjawab terhadap tulisan mereka.

Dari perspektif wartawan dan penulis hari ini, mereka bukan sekadar menulis untuk portal, laman web, blog, televisyen dan akhbar masing-masing.

Setiap pengamal media hari ini memiliki akaun media sosial secara peribadi.

Mereka boleh menukilkan pendapat di twitter, facebook, instagram dan platform lain.

Jadi, apakah pendapat mereka mewakili pendapat peribadi atau organisasi yang mereka wakili?

Berbanding dengan kemuncak kerjaya penulis sebagai wartawan sukan yang hanya meluahkan pendapat di dada akhbar sebelum penggunaan internet yang meluas, wartawan sukan hari ini bebas menyatakan pendapat di media sosial.

Risikonya, tidak semua yang dipaparkan itu benar belaka atau tepat 100 peratus.

Sebab itu pengamal media, khususnya wartawan sukan yang mewakili organisasi berpengaruh, harus berhati-hati dalam menulis di media sosial.

Jika tidak pasti, mereka boleh merujuk kepada wakil-wakil organisasi yang menjadi bahan atau subjek untuk memastikan laporan mereka sahih. Jika tidak, pengamal media juga boleh dituduh mengulas tanpa bukti 

Dalam dunia yang menuntut serba serbi untuk bertindak pantas, kadangkala seorang pengamal media teruja untuk berkongsi maklumat, ulasan atau spekulasi yang berat sebelah.

Bagi MFL pula, sebagai badan yang menganjurkan liga bola sepak elit, mereka harus mengeluarkan satu garis panduan media yang jelas.

Apakah bentuk ulasan yang beretika dan tidak melanggar peraturan serta syarat dan terma yang termaktub, apakah tulisan yang dianggap kritis melampau dan bagaimana bentuk tulisan yang boleh dikenakan tindakan.

Pada masa yang sama, jika ada laporan, sindiran atau ulasan yang tidak tepat, menyinggung mana-mana pihak ataupun wujudnya kesilapan fakta, MFL boleh mengambil tindakan segera dengan membalas tweet, atau mengulas di facebook akaun terbabit untuk memperbetulkan persepsi pada kadar segera. Ini disusuli pula dengan kenyataan rasmi menafikan mana-mana ulasan atau laporan yang dianggap berat sebelah atau tidak tepat.

Untuk penulis yang berulang kali membuat kesilapan yang sama, mereka boleh dikenakan tindakan menarik balik pas selepas amaran diberi.

Sesekali tidak salah jika MFL atau mana-mana organisasi sukan di negara ini berinteraksi secara terus dengan pengkritik mereka, dengan syarat ia dilakukan dengan penuh hemah.

Seorang penulis pula seharusnya menulis bukan kerana nama. 

Namun dalam dunia yang menitikberatkan jumlah pengikut serta kecenderungan mengejar status trending serta ulang tweet tanpa henti, kadang-kadang pengamal media pun terlupa tanggungjawab sebenar sebagai pengulas yang objektif.



 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen