Masalah pemain atau jurulatih? 

Oleh Sharon Wee 28 May 2018 9078
Masalah pemain atau jurulatih? 
Badminton Malaysia gagal ke separuh akhir Piala Thomas 2018 dan pula skuad wanita sekadar tangga ketiga peringkat kumpulan. 

Persoalan ini cukup subjektif dan boleh menjadi sensitif jika tidak dipandang daripada sudut pemikiran kritikal dan secara realiti.

Pasukan wanita Jepun merangkul Piala Uber buat kali keenam setelah menunggu 37 tahun.  

Antara jurulatih pasukan Nippon ialah anak Malaysia, Jeremy Gan, yang pernah membimbing skuad bergu negara selama 15 tahun. 

Mungkin lesu menunggu kejayaan anak buahnya sehingga mengambil keputusan berhijrah ke Jepun tahun lepas dan buat kali pertama memegang piala berprestij itu, namun bukan di bawah bendera Malaysia, tetapi bendera Jepun. 

Tahniah kepada Jeremy tetapi sakit hati. 

Bukan itu sahaja, ketua jurulatih pasukan Jepun kelahiran Korea Selatan, Park Joo Bong, juga pernah berkhidmat untuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan di bawah bimbingannya, Jepun telah melahirkan juara dunia, Nozomi Okuhara, selain menjuarai Piala Thomas buat kali pertama pada 2014 dengan menewaskan Malaysia 3-2 dan koleksi bertambah dengan Piala Uber 2018. 

Nampaknya, jurulatih yang pernah mendidik pemain Malaysia apabila pergi ke negara lain, pasukan yang dibimbing itu lebih menyerlah. 

Ia juga disedari oleh para peminat yang memberi pandangan di Facebook Astro Arena. 

Lebih mengiakan lagi anggapan itu, bekas jurulatih kebangsaan, Tan Kim Her, yang dipancing oleh India telah membawa kejayaan kepada pasukan campuran India yang mengejutkan Malaysia daam final Sukan Komanwel 2018, Gold Coast, Australia. 

India mencatat keputusan terbaik dengan dua emas, tiga perak dan satu gangsa. 

Belum habis lagi dengan trend bekas jurulatih badminton Malaysia yang menempa kejayaan dengan pasukan lain dan seorang lagi ialah Rexy Mainaky, seperti Joo Bong pernah menggondol pingat emas Sukan Olimpik dan Kejuaraan Dunia acara bergu lelaki. 

Bekas pemain Indonesia, Rexy, sebagai ketua jurulatih Thailand telah membawa pasukan itu ke tahap antarabangsa yang disegani negara lain termasuk jiran terdekat, Malaysia. 

Selain juara dunia dan bekas pemain nombor 1 dunia, Ratchanok Intanon, Thailand bersedia menghadapi dunia dengan pemain yang berkualiti dan mereka membuka mata negara Asia Tenggara dengan membolot empat emas, dua perak dan empat gangsa dalam Sukan SEA 2017. Sementara itu, tuan rumah Malaysia sekadar satu emas, lima perak dan dua gangsa. 

Adakah badminton Malaysia sudah hilang ‘umphhh’nya? 

Thailand sekali lagi menempa sejarah di laman sendiri dan mungkin tidak terlintas dalam fikiran mereka dapat merobohkan tembok besar pasukan wanita China yang telah mengungguli Piala Uber sebanyak 14 kali, lalu mara ke final buat kali pertama walaupun gagal menandingi kekuatan Jepun di halangan terakhir. 

Jadi, masalah pemain Malaysia atau jurulatih? 






 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen