Masalah kaulah Mourinho!

Oleh Shaukei Kahar 24 September 2018 11044
Masalah kaulah Mourinho!
Ada banyak ketikanya musim lalu apabila Jose Mourinho mengekalkan Alexis Sanchez di atas padang hanya kerana statusnya selaku rekrut termahal Manchester United.

Walhal prestasinya sekadar melayakkannya untuk pergi mandi di bilik persalinan lebih awal.

Namun, pengurus United itu tidak lagi mengamalkan pendekatan serupa. 

Disisihkan daripada pertemuan Liga Juara-Juara menentang Young Boys di Berne, Rabu lalu – gara-gara kehambarannya dalam kemenangan ke atas Watford sebelum itu – Sanchez dikeluarkan buat kali ketiga berturut-turut Sabtu lalu selepas sejam beraksi berdepan Wolves.

Apakah pula alasan Sanchez kali ini?

Buat kali pertama dalam sembilan tahun, dia mengharungi persiapan pra-musim sepenuhnya. Malah, ketika rehat antarabangsa yang terakhir, Chile meluluskan permintaan United untuk tidak melepaskan pemain itu bagi aksi persahabatan dengan Korea Selatan.

Kepenatan bukan pun satu alasan. Lagipun, pada usia 29 tahun, dengan berpengalaman empat tahun dalam Liga Perdana, dia seharusnya tahu apa yang harus dijangkakan.
Barangkali benar penilaiaian rakan sepasukan, Paul Pogba, bahawa tidak mudah untuk membuat peralihan daripada bola sepak mengikut gaya Arsene Wenger di Arsenal kepada stail Mourinho di United yang lebih pragmatik.

Dalam pada itu, Sanchez juga bukanlah seorang pemain berusia 19 tahun yang masih terkial-kial mencari rentaknya.

“Apabila anda bermain lama dengan sebuah pasukan dan perlu bermain berbeza dengan sebuah pasukan lain, anda perlu cepat menyesuaikan diri,” kata Pogba sebagai menawarkan pandangannya terhadap kehambaran Sanchez selepas perlawanan dengan Wolves itu.

“Ia bukanlah bermakna dia bermain buruk. Kita semua tahu banyak yang boleh dibawa Alexis Sanchez, cuma dia perlu kekal positif,” tambahnya seperti dipetik akhbar The Telegraph.

Masalahnya ialah United tidak mempermudah keadaan buat penyerang antarabangsa Chile itu – langkah menurunkannya di tengah-tengah barisan serangan adalah aneh pada ketika kelab itu sudah memiliki dua penyerang yang gemar menyusup dari sebelah kiri.

Gara-garanya, baik Anthony Martial mahupun Marcus Rashford tidak meraih manfaat daripada ketibaan Sanchez hingga Mourinho mendapati sukar untuk mengerah yang terbaik daripada ketiga-tiganya sekali gus.

Tambah memburukkan keadaan, gaji besar Sanchez – tanpa pulangan setimpal daripadanya – hanya akan menyemarakkan tuntutan seumpamanya daripada pemain lain pada masa depan.

Itu belum lagi mengambil kira pemain sedia ada yang mungkin mempersoalkan bagaimana seorang pemain yang beraksi hambar secara kerap boleh dibayar setinggi yang dinikmati Sanchez kini.

Masalah kaulah Mourinho!

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen