"Manfaat pengalaman di Gold Coast"

Oleh Syamil Izwan Azizan 13 March 2018 441
Temasya Sukan Komanwel 2018 akan membuka tirai dalam tempoh beberapa minggu sahaja lagi dengan Gold Coast bakal menjadi tumpuan kontinjen negara.

Seramai 178 atlet menjadi sandaran dalam memburu pingat dalam temasya yang berlangsung setiap empat tahun itu.

Pembabitan dalam acara berpasukan cukup positif kali ini dengan Malaysia mempunyai wakil dalam acara hoki lelaki dan wanita, bola keranjang wanita serta ragbi 7 sepasukan lelaki.

Tumpuan penulis lebih terarah kepada ragbi 7 sepasukan di mana ini merupakan kali kelima Malaysia mendapat peluang menambil bahagian di pentas Komanwel.

Reputasi selaku juara Asia Tenggara susulan kejayaan meraih pingat emas dalam temasya Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu memberikan lebih motivasi buat skuad kendalian Saizul Hafifi Mohd Nor.

Namun, saingan di Gold Coast lebih sukar buat mereka memandangkan kebanyakan kuasa besar sukan ini merupakan negara-negara naungan Komanwel.

Ditempatkan sekumpulan bersama Afrika Selatan, Scotland serta Papua New Guinea, cabaran pastinya menamatkan penantian bagi memburu kemenangan yang kali terakhir dilakar pada edisi 2002 di Manchester.

Ketika itu, Malaysia menewaskan Trinidad & Tobago dalam aksi peringkat kumpulan sebelum terkandas di suku akhir penentuan saingan bowl kepada Kepulauan Cook.

Sementara itu, empat tahun lalu di Glasgow, skuad negara tidak dapat memperoleh sebarang mata selepas kecundang kepada Wales, Papua New Guinea serta Samoa.

Sudah pasti mereka tidak mahu penyertaan di Gold Coast kali ini sebagai sia-sia kerana tumpuan utama menuju kepada temasya Sukan Asia di Indonesia, Ogos nanti.

Saingan Sukan Asia lebih sesuai buat skuad negara untuk sasaran buruan pingat menjadi keutamaan dan lantaran itu mereka perlu manfaatkan sebaik mungkin pengalaman di Gold Coast nanti.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen