Mampukah nasib Leicester di Old Trafford diubah?

Oleh Suzana Basri 14 September 2019
 Mampukah nasib Leicester di Old Trafford diubah?
Selepas beberapa ketika, Brendan Rodgers berjaya membawa Leicester City kembali ke kelompok pencabar utama Liga Perdana Inggeris menerusi rekod tanpa kalah dalam empat aksi pertama musim ini.

Bagaimanapun, risiko untuk rekod itu dihentikan amat tinggi.

Ini kerana pasukan kelima yang bakal menjadi seteru saingan domestik The Foxes adalah Manchester United.

Sudah 21 tahun Leicester tidak merekod sebarang kemenangan pada kunjungan ke laman keramat United.

Kali terakhir, ia diraih pada 1997 ketika The Foxes dibimbing Martin O'Neill, tahun sama mereka menjulang kejuaraan Piala Liga.

Setahun selepas menerima lonjakan terbaharu ke saingan Liga Perdana, iaitu pada 2016, Leicester berjaya menjulang trofi kejuaraan domestik tetapi hanya berjaya mencuri satu mata di Old Trafford.

Dan ia membangkitkan minat ramai pihak untuk mengetahui pendirian pengendali baharu The Foxes yang pernah membimbing Liverpool, mengenai kunjungan mereka ini.

Ternyata personaliti sederhana Rodgers menyaksikan pengendali kelahiran Utara Ireland ini enggan memandang mudah cabaran United walaupun pasukan lawan itu sedang berada dalam situasi sukar di pertengahan liga, berbanding Leicester yang menjadi pasukan ketiga terbaik ketika ini, dibelakang Liverpool dan Manchester City.

"Kami memang nantikan perlawanan menentang United, bertemu pasukan handalan, dengan pemain bintang, di stadium hebat. Saya tahu Leicester tidak pernah menang di Old Trafford selama 21 tahun. Jadi kami teruja untuk berikan persembahan terbaik, yang mampu membawa keputusan positif. Semua pemain, barisan kejurulatihan sudah bersiap sedia untuk perlawanan hebat."

Persoalan yang turut dicetuskan pemerhati bola sepak inggeris adalah - apakah Skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer juga mempertingkat strategi mereka selepas dilabel tidak begitu memberangsangkan dengan rekod satu kemenangan, dua seri dan tewas sekali.

Rekod kemenangan United di laman keramat mereka juga perlu diperbaharui apabila mencatat empat kekalahan dari lima aksi terbaharu.

Mungkin juga jawapannya nanti ada pada pemain pertahanan pasukan mana yang kurang membuat kesilapan.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen