Mampukah FAM bertegas?

Oleh Zainal Abidin Rawop 16 January 2020 123
Mampukah FAM bertegas?
Saingan Liga Malaysia bagi musim 2020 belum bermula.

Persiapan semua pasukan yang bakal bertanding terutama dalam dua pertandingan besar, Liga Super dan Perdana, nampak meriah.

Pelancaran Liga Malaysia pun dah disempurnakan dan jelas masing–masing sudah tidak sabar untuk turun ke padang mempamer aksi masing–masing.

Cuma yang tidak sedap didengar oleh telinga dan dipandang oleh mata adalah kes–kes tunggakan gaji, bukan sebulan dua malah dah bertahun–tahun lamanya masih belum selesai. Sampai muncul ugutan dan saling berbalas kecaman di media sosial.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selaku badan induk sukan nombor satu negara itu, menerusi setiausaha agungnya, Stuart Ramalingam, tampil tegas ke atas pasukan–pasukan yang gagal melunaskan gaji tertunggak ini.

Lebih spesifik, tiga pasukan, Melaka, PDRM dan Kelantan, diberi sehingga 31 Januari 2020 atau berdepan hukuman pemotongan mata Liga Super 2020 dan Liga Perdana 2020 sekiranya gagal menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan mereka.

Tiga pasukan berkenaan diberikan kira-kira dua minggu bagi melangsaikan hutang-piutang dan sekiranya gagal berbuat demikian pada tarikh akhir, mereka akan dikenakan hukuman pemotongan tiga mata serta-merta biarpun belum melakukan sepak mula.

Tidak berakhir di situ, sekiranya masih gagal diselesaikan sehingga tarikh akhir kedua iaitu pada 28 Februari 2020, pasukan berkenaan akan dikenakan hukuman tambahan iaitu pemotongan enam mata lagi.

DAN kalau tidak dapat diselesaikan pada tarikh akhir ketiga, 30 Mac 2020, pasukan berkenaan akan disingkirkan terus secara serta merta daripada saingan Liga!

Perghh..tegasnya! Tetapi mengapa sampai tiga kali tempoh?

Tetapi perlu diingatkan, mana-mana pasukan di atas yang telah mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan gaji sebelum tarikh akhir pertama yang ditetapkan (31 Januari 2020), mereka tetap boleh dikenakan hukuman pemotongan tiga mata serta-merta jika didapati melanggar atau tidak membayar tunggakan kepada pemain atau pegawai berkenaan mengikut tarikh-tarikh yang telah dipersetujui.

Ketegasan FAM ini amat dipuji, namun pelbagai pihak turut mempersoalkan sejauh manakah keberanian mereka untuk menjatuhkan hukuman ini kerana seolah–olah pasukan–pasukan yang bermasalah ini sering mengganggap amaran seperti itu sebagai satu ‘ugutan mesra’ sahaja.

Kalau hendak diikutkan, sudah banyak pasukan yang seharusnya ‘tutup kedai’, namun FAM maupun Malaysia Football League (MFL) tetap memberikan ruang dan peluang kepada pasukan–pasukan ini untuk terus beraksi.

Tahun lalu, Perlis biarpun sudah menunjukkan tanda–tanda pasukan penuh bermasalah, tetap dibenarkan beraksi dan hanya disingkirkan selepas suku perjalanan. Tetapi penyingkiran itu hanya menyukarkan dan mengganggu pentadbiran Liga.

Pemotongan mata turut dilakukan pada pertengahan saingan ke atas beberapa pasukan yang ketika itu sudah berkira–kira layak bermain pada pertandingan yang lebih tinggi.

Apakah penyingkiran bakal menyekat perkembangan liga tempatan? Menutup periuk nasi jurulatih dan pemain?

Persoalan ini sering dilontarkan dan tanpa ‘pasukan–pasukan’ bermasalah ini mungkin Liga Malaysia tidak meriah tetapi kelonggaran atau sikap berlembut ini sering disalah guna sehingga menyebabkan pemain–pemain yang menjadi mangsa.

Mungkin sudah tiba masanya FAM dan MFL betul–betul menjatuhkan hukuman yang lebih berat sebagai satu pengajaran.

Tungguuuuu.   

*Gambar hiasan

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen