Malaysian Tigers perlu kalahkan New Zealand

Oleh Mirnawan Nawawi 21 November 2018 922
Malaysian Tigers perlu kalahkan New Zealand
Esok adalah peluang terakhir buat skuad hoki kebangsaan mencatatkan kemenangan ke atas New Zealand sebelum bertolak ke Bhubaneswar, India, bagi menghadapi Piala Dunia 2018 yang akan bermula, Rabu depan.

Tewas tipis sebanyak dua kali bukan bermakna Malaysian Tigers tidak berkemampuan untuk menumbangkan New Zealand dalam aksi persahabatan terakhir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil petang esok.

Satu kemenangan sekurang-kurangnya akan menaikkan semangat dan keyakinan barisan pemain kerana mereka bakal berdepan cabaran lebih hebat di India dengan bertemu dua gergasi Eropah, Belanda dan Jerman, dalam aksi Kumpulan D, di India nanti.

Ketua jurulatih, Roelant Oltmans pastinya akan menurunkan kesebelasan utama terbaik untuk aksi terakhir menentang The Black Sticks, esok.

Walaupun keputusan aksi persahabatan sebenarnya tidak penting kerana ia bukan pengukur kekuatan sebenar tetapi satu kemenangan pastinya dapat menyemarakkan semangat peminat-peminat tegar hoki tanah air menjelang Piala Dunia 2018.

Saya sedar ia bukan satu tugas mudah kerana New Zealand adalah pasukan kesembilan dunia, kedudukan lebih baik berbanding skuad negara di tangga ke-12.

Bagaimanapun, saya percaya ia mampu dilakukan jika melihat kepada peningkatan positif yang ditunjukkan barisan pemain dalam dua perlawanan persahabatan sebelum ini.

Esok juga adalah peluang terakhir buat barisan kejurulatihan negara mengkaji kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum bertolak ke India.

Dalam keghairahan mencari kemenangan esok, barisan pemain juga perlu berjaga-jaga agar tidak mengalami kecederaan supaya Malaysia dapat menghantar satu skuad terbaik dan mantap ke Piala Dunia 2018.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen