Madrid rindui memori kejaguhan Ronaldo

Oleh Shaukei Kahar 5 October 2018 10120
Madrid rindui memori kejaguhan Ronaldo
Perogol atau tidak, kelibat Cristiano Ronaldo kini mula dirindui bekas rakan sepasukan di Real Madrid.

Semuanya gara-gara kelab Los Blancos itu sedang mengharungi rekod jaringan terburuk dalam tempoh 11 tahun selepas kekalahan 0-1 kepada CSKA Moscow dalam Liga Juara-Juara, kelmarin.

Kekalahan di Stadium Luzhniki itu meninggalkan skuad kendalian Julen Lopetegui itu tanpa sebarang jaringan dalam tiga perlawanan berturut-turut.

Madrid sebelumnya menundukkan Roma 3-0 dalam perlawanan pertamanya sebagai juara bertahan bulan lalu tetapi sejak itu hanya sekali menemui jaring.

Kemenangan sukar 1-0 ke atas Espanyol dalam LaLiga disusuli pula oleh kekalahan 0-3 di Sevilla untuk Lopetegui dikerah menyaksikan pemainnya diikat tanpa jaringan oleh Atletico Madrid, Sabtu lalu.

Menyusuli gol Nikola Vlasic untuk CSKA selepas hanya 65 saat perlawanan kelmarin, Lopetegui kini terus meratapi masalah yang dialami pasukannya di depan gol.

Malang buat Madrid kerana di sebalik menghujani pintu gol CSKA dengan 26 percubaan sepanjang perlawanan, tiada satu pun yang singgah di dalam jaring sehingga mereka hanya mampu terbayangkan Ronaldo sebelum perpindahannya ke Juventus, Julai lalu.

"Cristiano meninggalkan penanda aras yang tinggi di Real Madrid," kata penjaga gol, Keylor Navas, sebagai menyimpulkan betapa mereka kini amat terasa kehilangan penyerang Portugal itu – yang sedang disiasat atas dakwaan melakukan serangan seksual ke atas seorang bekas model di Las Vegas pada 2009.

“Dia menjaringkan banyak gol ketika bersama kami,” tambahnya sebagai membayangkan Casemiro, Karim Benzema dan Mariano Diaz yang cuba menampung kekosongan di barisan depan, belum berada di tahapnya.

“Anda tidak boleh melindungi matahari dengan hanya satu jari,” katanya lagi mengenai Ronaldo yang menyumbat gol 44 kali musim lalu.

Dalam pada itu, Pemain Terbaik FIFA 2018, Luka Modric, pantas menafikan Madrid sedang dilanda krisis gara-gara kekalahan keduanya dalam tiga perlawanan terakhir.

“Ia bukannya satu krisis, cuma kami tidak beraksi sebagaimana sepatutnya. Berikan sedikit masa dan kami akan mengatasi kehambaran ini,” ujarnya.

Kembalinya Isco selepas pulih daripada pembedahan untuk berkunjung ke Deportivo Alaves, Sabtu ini, menerbitkan harapan Madrid akan kembali mencetak jaringan.

Sedikit kelegaan buat mereka ketika ini ialah di sebalik kehambaran dalam tiga perlawanan, Madrid meraih jumlah mata yang sama dengan seteru rapat, Barcelona, di mercu carta La Liga dengan 14 mata selepas tujuh perlawanan.

Namun, apa yang menghairankan di sebalik meraih £88 juta (RM475 juta) daripada penjualan Ronaldo, Madrid masih belum mendatangkan pengganti setanding, dengan segala cakap-cakap mengaitkan pemain seperti Eden Hazard dan Neymar masih kekal sebagai khabar angin.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen