Macam mana nak rekod 'Kita Juara'?

Oleh Ezreen Isa 17 July 2017 233
Macam mana nak rekod 'Kita Juara'?
Tidak kurang 30 hari lagi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bakal membuka tirainya. Penganjuran kali ke-29 ini milik Malaysia selepas Singapura menjadi tuan rumah untuk temasya dwi-tahunan ini pada 2015.

Itu satu sejarah. Rakaman sejarah juga satu bahan asas yang perlu ada pada setiap penganjuran temasya sukan. Merakam kemenangan adalah perkara paling 'stim'. Tetapi merakam kekalahan juga 'wajib' kerana mahu atau tidak ia tetap sejarah.

Baru-baru ini atlet-atlet veteran negara seperti Datuk Rabuan Pit, Noraseela Mohd Khalid, Khalid Ali, Santokh Singh dan ramai lagi diberi peluang oleh pihak MRCB untuk meninjau keindahan venue sukan yang terletak di KL Sports City, Bukit Jalil.

Rata-rata mereka berpendapat pelbagai pembaharuan telah pun dilakukan pada setiap venue yang dilawati sperti Pusat Akuatik, Axiata Arena dan Stadium Nasional.

Apabila ditemuramah wartawan, dapat dilihat daripada riak wajah mereka seakan teruja dan rasa kagum dengan kemudahan dan penstrukturan stadium jika nak dibandingkan pada zaman sebelumnya. Malah ada yang mengatakan ia setaraf dengan pusat-pusat sukan di Eropah.

Tetapi berbeza dengan saya. Saya bukan atlet, saya hanya seorang perakam sejarah kerdil dan terlalu sedikit sumbangannya kepada negara.

Pandangan dan pemerhatian saya lebih tertumpu kepada satu permasalahan iaitu posisi terbaik untuk saya berdiri melakukan tugas. Hemat saya, rakan-rakan seperjuangan yang lain pun turut fikirkan masalah yang sama.

Temasya kali ini dilihat sebagai sesuatu yang gah dan istimewa. Kali ini Malaysia dilihat seperti berkeinginan mengejar misi Kita Juara. Tetapi kalau boleh slogan 'Kita Juara' itu jangan hanya diletakkan kepada jumlah pungutan pingat emas sahaja.

Seharusnya, ia perlu mengambil kira daripada segi penganjurannya, pengelolaannya, kemudahan infrastrukturnya, kemudahan media, dan pelbagai lagi. 

Adakah 'Kita Juara' daripada sudut itu?  Saya percaya semua pihak bertungkus lumus ingin menjayakannya daripada pak menteri hinggalah sukarelawan khasnya dan rakyat Malaysia umumnya. Cuma kita manusia biasa, takut-takut ada yang terlepas pandang mengenai perkara ini.

Sejarah ini akan diceritakan pada anak cucu kita nanti. Mungkin ceritanya lebih enak jika ada bukti rakaman atau gambar ketika Malaysia menyambut kemerdekaan yang ke-60 dengan 'Kita Juara' keseluruhannya. 

Tetapi kalau ia tidak dirakam dengan elok disebabkan tiada platform yang sesuai bagi pemetik detik ini, sudah tentu manisnya akan kurang. Kuranglah sedikit bukti yang sepatutnya kita banggakan. 

Sekiranya semua berjalan lancar seperti yang dirancangkan, barulah 'Kita Juara' dalam segala aspek. Selamat berjuang untuk semua yang terlibat.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen