Maafkan saya badang negara

Oleh Bazly Azmi 31 May 2018 10891
Maafkan saya badang negara
"Tak sangka pula sampai semua kena gantung".

Itu yang saya ungkapkan kepada juara Sukan Komanwel Gold Coast 2018, Azroy Hazalwafie Ahmad Izhar sehari selepas Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengumumkan penggantungan setahun terhadap skuad kebangsaan daripada menyertai kejohanan antarabangsa.

Ia langkah pertama bagi membersihkan skandal doping yang mencemari sukan itu sejak beberapa tahun lalu.

Ketika menyiapkan laporan eksklusif mengenai tiga atlit remaja negara pada 16 Mei lalu, saya memaklumkan perkara ini kepada beberapa senior seperti penerbit, Rozaini Ahmad, Lukman Salleh dan pemerhati sukan, Muhammad Rizal Hashim.

Mereka nyata terkejut kerana ketiga-tiga atlit itu mengambil bahan jenis sama, stanozolol. Malah, ada yang baru berusia 16 tahun!

Nadi Arena 7.30 malam kemudian dilengkapi dengan analisis mengenai isu ini dan pada kesempatan itulah saya menyatakan skuad angkat berat perlu digantung untuk memulakan proses pembersihan.

Saya kemudian terfikir, adakah tindakan ini terlalu berat?

Bagaimana dengan nasib atlit? Adakah mereka perlu pulang ke kampung halaman?

Apa pekerjaan mereka selepas ini?

Namun, saya terpaksa teruskan tugas saya - mencari kebenaran dalam kes doping unik ini.

Keesokan hari, saya datang ke sesi latihan skuad negara di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil dan ternyata beberapa individu mendedahkan perkara sebenar.

Bagaimana atlit itu mendapatkan bahan terbabit, berapa harga, salah laku atlit wanita dan pelbagai isu yang tidak pernah terlintas sebelum ini.

Tidak sangka banyak masalah dalam skuad angkat berat yang jika saya dedahkan, ia cukup memalukan.

Masalah ini dibawa kepada pegawai MSN dan PABM.

Dua minggu kemudian (30 Mei), Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat mengumumkan skuad negara digantung setahun termasuk Sukan Asia, Kejohanan Dunia dan kelayakan Olimpik.

Saya tersentak dengan hukuman drastik ini.

Terbayang wajah beberapa atlit yang sudah nampak laluan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Mungkin ini peluang pertama dan terakhir mereka. Mungkin ini impian mereka sejak kecil!

Tetapi saya percaya, inilah yang perlu dilakukan untuk menyelamatkan angkat berat. Lebih baik PABM ambil tindakan daripada dikenakan hukuman oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).

Kepada badang negara, bertabahlah menghadapi saat sukar ini.

Maaflah, saya terpaksa menjalankan tugas.

Semoga ini jadi pengajaran. Anda tidak akan berjaya jika menggunakan bahan terlarang. 

Jangan tipu rakyat Malaysia. 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen