M-S-G hadirkan gerun Barcelona

Oleh Hishamuddin Aun 14 July 2019 3477
M-S-G hadirkan gerun Barcelona
Ingat M-S-G. Singkatan itu harus akan bergema pada musim baru LaLiga 2019-2020 bermula pertengahan bulan depan.

Daripada trio serangan MSN, dan kemudian MSD, ketibaan Antoine Griezmann ke Camp Nou melengkapkan gandingan serangan baru itu yang bakal menjadi sandaran untuk mempertahankan kejuaraan liga di samping menebus kekecewaan dalam Liga juara-Juara Eropah (UCL).

Daripada tanda harga di atas kepala mereka semata-mata, ia tidak syak lagi menakutkan pada jumlah €958.3 juta (RM4,448.95j).

Ini berdasarkan ketibaan Griezmann daripada Atletico Madrid dengan klausa pelepasan kontrak bernilai €120 juta (RM557j), Luis Suarez yang bernilai €82.3 juta (RM382j) ketika dibeli daripada Liverpool pada 2014 di samping Lionel Messi yang ditambat dengan nilai €756 juta (RM3.5b) ketika melanjutkan kontraknya sehingga musim 2020-21.

Dengan Griezmann secara rasminya diperkenalkan kepada penyokong skuad Blaugrana itu di Camp Nou hari ini, kelibat trio serangan itu tidak sabar-sabar dinantikan apabila Barca membuka cabaran di gelanggang Athletic Bilbao, 17 Ogos ini, disusuli tuan rumah kepada Real Betis, sembilan hari kemudian.

Barisan kendalian Ernesto Valverde itu, yang melengkapkan kejuaraan dua musim berturut-turut dengan berjurang 11 mata di singgahsana liga, bagaimanapun, tidak harus terlepas pandang cabaran Real Madrid yang melakukan transformasi di bawah pemerhatian Zinedine Zidane.

Ketika ini, ia kekal untuk dilihat sama ada Neymar akan turut menemui jalan pulang ke Camp Nou sambil masa depan Ousmane Dembele yang dikaitkan dengan Bayern Munich dan Philippe Coutinho yang ditawarkan antara pakej pertukaran di Paris Saint-Germain (PSG), kekal samar-samar.

Namun, seperti dilaporkan akhbar harian sukan Sepanyol, MARCA, gandingan Messi, Suarez dan Griezmann itu barangkali berupaya melepasi paras 100 gol antara mereka musim baru ini.




Pada 2018/19, ketiga-tiganya – secara berasingan -- menyumbangkan 97 gol, dibandingkan dengan 105 gol pada 2017/18 dan 117 gol pada 2016/17. 

Musim terbaik himpunan jaringan ketiga-tiganya ialah pada 2015/16 apabila Messi menyumbat 41, Suarez menyudahkan 59 sambil Griezmann dengan 32 gol – untuk jumlah 132 gol.

Menggandingkan ketiga-tiganya di barisan serangan pasukan yang sama adalah sesuatu yang belum pernah dilihat sebelumnya dan bebannya terletak pada Valverde – pengurus yang dikritik hebat gara-gara kekalahan 0-4 kepada Liverpool dalam separuh akhir kedua UCL di Anfield, 8 Mei lalu – untuk memastikan keberkesanan mereka.

Di atas perkiraan kasar, menurut MARCA, trio MSG itu harus tidak bermasalah menghimpun 80 gol – yang jika mampu dicapai pada 2018/19, sudahpun mengatasi mana-mana pasukan lain kecuali Barcelona  musim lalu.

Perbandingan, bagaimanapun, akan sentiasa dibuat dengan rekod trio MSN sebelumnya.

Jumlah 131 gol yang dicapai trio itu pada 2015/16 -- dengan Neymar sahaja menyumbang 31 gol – mengatasi rekod trio serangan Real Madrid dengan 118 gol pada 2011/12.

Messi sendiri telah menyumbang kepada jumlah 100 gol dua kali sebelumnya, di sebalik dengan gandingan berbeza.

Pada 2011/12, dia melakukannya bersama Alexis Sanchez dan Cesc Fabregas manakala pada 2008/09, dia mencapainya bersama Samuel Eto'o dan Thierry Henry.

Ketibaan Griezmann tentunya membawa bersamanya prospek menarik di Camp Nou.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen