Lulus ‘A++’ di ujian pertama  

Oleh Sharon Wee 21 May 2018 9167
Lulus ‘A++’ di ujian pertama   
Skuad Piala Thomas Malaysia berjaya merobohkan tembok Rusia di aksi pertama kumpulan D di Kejohanan Badminton Piala Thomas/Uber di Bangkok.
 
Lulus dengan keputusan ‘A++’ di halangan pertama memberi motivasi dan keyakinan kepada skuad lelaki negara yang diketuai idola badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei.
 
Chong Wei pada usia 36 yang baharu sahaja menyumbang pingat emas Sukan Komanwel terakhirnya di Gold Coast bulan lalu mudah menundukkan Vladimir Malkov 21-9, 21-6.
 
Besar kemungkinan Vladimir pemain tinggi lampai 1.87 meter terpegun dapat beraksi menentang selebriti badminton negara juga bekas pemain nombor 1 dunia itu.
 
Chong Wei yang memberi indikasi ini mungkin Piala Thomas terakhirnya mempunyai ramai peminat di Bangkok termasuk pemain Algeria, Adel Hamek yang menyatakan ‘I love you’ kepada Chong Wei kerana kagum dengan skil dan corak permainan idolanya.
 
Apapun, mata kedua menentang Rusia diperoleh Goh V Shem/Tan Wee Kiong yang perlu mempamerkan prestasi terbaik sebelum menewaskan bergu nombor 10 dunia, Vladimir Ivanov/Ivan Sozonov.
 
Pemain perseorangan kedua negara, Lee Zii Jia yang menampilkan diri buat kali pertama di pusingan akhir Piala Thomas tampak selesa untuk memberi mata kemenangan kepada Malaysia.
 
Namun di dalam peringkat kumpulan, kesemua perlawanan perlu dimainkan dan 2 lagi mata dimenangi oleh Aaron Chia/Teo Ee Yi serta Iskandar Zulkarnain untuk menewaskan Rusia secara keseluruhan 5-0.
 
Malaysia berjaya ke separuh akhir 2 tahun lalu tetapi tewas tipis kepada Denmark yang menewaskan Indonesia untuk menjulang Piala Thomas buat kali pertama, dijangka tiada masalah menentang Algeria, negara Arab pertama layak ke kejohanan ini namun ujian terbesar pasti menghadapi Denmark pada Rabu nanti.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen