LTdL : Jangan cakap kosong 

Oleh Bazly Azmi 14 February 2019 1038
LTdL : Jangan cakap kosong 
Persiapan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 tidak lancar. Itu hakikat yang perlu kita terima apabila membabitkan soal pemilihan penganjur dan tarikh perlumbaan.

Pemilihan penganjur mencetuskan kontroversi apabila Human Voyage (M) Sdn Bhd, yang diasaskan Datuk Malik Maidin - individu didakwa mempunyai kaitan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Isu terus hangat apabila tarikh perlumbaan ditunda kepada 6 hingga 13 April 2019, bertembung pula dengan peringkat terakhir Jelajah Thailand. 

Masalah akan tercetus apabila pasukan yang bertanding dalam Jelajah Thailand pasti tidak sempat menyertai LTdL yang sudah berubah tarikh. 

Realitinya, ia akan mencetuskan rasa kurang senang di antara penganjur di Thailand dan Malaysia kerana dalam dunia berbasikal, pemilihan tarikh perlumbaan umpama persefahaman secara tidak rasmi sesama mereka.

Pasti masing-masing mahu menarik penyertaan pasukan pro tour bagi menjaga reputasi perlumbaan. Bagi LTdL, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Human Voyage, Datuk Ahmad Mustafa, mengesahkan rundingan sedang dijalankan dengan enam pasukan pro tour. 

Nampaknya mereka bermula dengan langkah kanan. Pasukan itu ialah Astana, Dimension Data, CCC Reno, Michelton Sport, Lotto Soudal dan EF Education First.

"Saya harap mereka semua dapat menyertai edisi ke-24. Ini sangat penting bagi menjaga reputasi LTdL sebagai salah satu perlumbaan terbesar Asia," kata Ahmad.

Human Voyage wajar diberi pujian atas usaha mereka memancing pasukan pro tour tetapi jangan cakap saja. 
Saya pernah menyaksikan banyak janji ditabur beberapa penganjur terdahulu hingga ada yang tidak membayar wang hadiah kepada pemenang termasuk bayaran kepada kontraktor.

Ingat, LTdL bukan sekadar perlumbaan berbasikal tetapi mewakili cara orang Malaysia bekerja. Jangan cakap kosong.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen